Campus

SoIS jadi pusat pengajian pertama untuk sesi townhall selaras ekosistem penyelidikan

Gambar Ahmad Syahmi Wafiy Abdul Razak

SINTOK, 16 Februari 2026: Jabatan Hal Ehwal Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi (JHEPPI) telah menganjurkan sesi townhall bersama Kumpulan Penyelidikan (RG) Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS) yang bertujuan untuk menyelaraskan ekosistem penyelidikan universiti dengan matlamat nasional.

Sesi kali ini diterajui oleh Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), JHEPPI, Prof. Dr. Nor Idayu Mahat yang mewakili Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) menekankan peri pentingnya setiap RG untuk memahami dan mengintegrasikan hala tuju penyelidikan yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi memastikan setiap hasil inovasi mempunyai impak yang nyata kepada masyarakat dan negara.

Pada sesi tersebut, terma kumpulan penyelidikan (RG) diperkenalkan yang bermaksud satu pasukan akademik (dalam pusat pengajian) yang berkongsi minat penyelidikan khusus, berganding tenaga bagi menghasilkan penyelidikan, penerbitan, geran dan inovasi.

Dr. Nor Idayu berkata, antara objektif utama RG adalah membina budaya penyelidikan kolaboratif yang mampan berteraskan prinsip “We Before Me”.

Menurutnya, dengan wujudnya RG, dapat meningkatkan output penyelidikan kolektif kerana RG bukan sebuah unit individu, tetapi pasukan yang menerbit dan memenangi geran secara berkumpulan.

SoIS dibahagikan kepada sembilan kumpulan penyelidikan dari bidang berkaitan Hal Ehwal Antarabangsa dan Perniagaan Antarabangsa di mana setiap RG mempunyai seorang ketua dan ahlinya terdiri daripada pensyarah yang mempunyai bidang kepakaran yang sama.

Semua ahli kumpulan penyelidikan menerima surat lantikan pada sesi tersebut mengikut RG yang telah dikenalpasti yang disampaikan oleh Dekan SoIS, Prof. Madya Dr. Nazariah Osman dan disaksikan oleh Prof. Dr. Nor Idayu.

Semasa sesi ini juga, turut dimaklumkan tentang Garis Panduan Rasmi Pengukuran Atas Pelaburan (ROI) & Pulangan Atas Nilai (ROV) dan Kalkulator ROI & ROV Research Group untuk rujukan dan tindakan semua RG.

Dr. Nor Idayu juga memaklumkan bahawa sebagai langkah susulan daripada sesi ini, setiap RG diwajibkan untuk menentukan semula fokus bidang tujahan kumpulan masing-masing agar selari dengan bidang keutamaan RMK-13.

“Selain itu, penetapan sasaran pencapaian (KPI) yang realistik bagi tahun 2026 perlu dilaksanakan segera. Melalui transformasi ini, universiti berharap agar setiap kumpulan penyelidikan dapat berfungsi sebagai enjin utama dalam memacu kecemerlangan akademik dan inovasi yang mampan, sekali gus menyumbang kepada pembangunan modal insan dan kualiti hidup masyarakat secara keseluruhannya.

“Sasaran aktiviti RG adalah penyelidikan, penerbitan, projek komuniti (knowledge transter), kerjasama penyelidikan dengan agensi luar/ industri dan aktiviti inovasi berteraskan penyelidikan,” katanya.

Sesi ini turut dihadiri oleh PTJ di bawah TNCPI termasuk Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC), Pusat Inovasi dan Pengkomersilan (ICC), Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Infrastruktur (JPPI), dan UUMIT bagi memastikan ekosistem penyelidikan di SoIS khususnya dan UUM amnya berada di tahap yang optimum bagi memperkasakan lagi agenda penyelidikan dan inovasi. – Muhamad Hikmi Che Roos (Pelajar Pelatih SoIS)

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button