Campus

SPAN sumbang RM80,000 wakalah zakat kepada pelajar UUM

Gambar Shamsaimi Ezil

SINTOK, 15 Oktober 2025: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah menyerahkan sumbangan wakalah zakat secara tunai berjumlah RM80,000 kepada 100 pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) di Dewan Seminar, Pusat Islam, Isnin lalu.

Penyerahan ini sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan pelajar serta usaha menyokong kelangsungan pendidikan mereka di kampus.

Majlis penyerahan disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, SPAN, Dato’ Ahmad Faizal Abdul Rahman, dan Timbalan Pengarah Bahagian Khidmat Perundangan SPAN, Dr. Nazli Mahdzir, kepada pelajar terlibat.

Ahmad Faizal berkata, pihaknya bukan sahaja berperanan dalam mengawal selia industri perkhidmatan air negara, tetapi turut menunaikan tanggungjawab sosial melalui pengagihan zakat kepada golongan yang layak, termasuk pelajar institusi pengajian tinggi.

“SPAN komited untuk menyantuni masyarakat melalui program berbentuk kebajikan dan pendidikan.

“Kami berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu pelajar meneruskan pengajian dengan lebih selesa,” katanya. 

Sementara itu, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Muhammad Iskandar Zulkarnain Muhammad Suhaimi merakamkan penghargaan kepada SPAN atas keprihatinan dan sumbangan yang diberikan.

Menurutnya, sumbangan wakalah ini menjadi bukti hubungan baik antara universiti dan agensi luar dalam memperkukuhkan agenda pembangunan modal insan negara.

Pelajar yang menerima bantuan juga diseru untuk terus bersungguh-sungguh mengejar kecemerlangan di kampus dan membangun kemahiran insaniah masing-masing serta dapat menyumbang kembali kepada universiti setelah berkerjaya nanti.

Turut hadir, Pengarah Pusat Islam, Mohd Yusnaidi Md Sabri; Timbalan Pengarah Pusat Zakat dan Wakaf, Prof. Madya Dr. Bidayatul Akmal Mustafa Kamil, serta pegawai-pegawai daripada SPAN dan UUM. – Syazwani Daud

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button