STML johan Pusat Pengajian Terbaik dua tahun berturut-turut dalam Anugerah Kecemerlangan Pelan Strategik UUM
Gambar Jabatan Komunikasi Korporat
SINTOK, 17 Julai 2025: Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), Universiti Utara Malaysia (UUM) terus mencipta kejayaan membanggakan apabila dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan Kategori Pusat Pengajian Terbaik dalam Anugerah Kecemerlangan Pelan Strategik UUM 2024.
Dekan STML, Prof. Madya Dr. Mohamed Najib Salleh berkata, kemenangan ini melakar sejarah tersendiri apabila STML berjaya mengekalkan gelaran tersebut buat tahun kedua berturut-turut, selepas meraih anugerah sama pada tahun 2023.
Anugerah berprestij ini disampaikan dalam Majlis Apresiasi Pelan Strategik UUM 2024 yang berlangsung di EDC-UUM baru-baru ini.
Sebagai johan, STML menerima hadiah RM5,000, plak penghargaan dan piala pusingan sebagai simbol kepada kecemerlangan berterusan dalam tadbir urus dan pelaksanaan strategi pembangunan pusat pengajian.
Lebih membanggakan, STML turut meraih kejayaan cemerlang dalam lima kategori lain iaitu:
- Johan Kategori Kecemerlangan Perkhidmatan (Teras 5)
- Johan Kategori Graduan Holistik (Teras 6)
- Naib Johan Kategori Kelestarian Kerjasama Komuniti dan Industri (Teras 3)
- Tempat Ketiga Kategori Kelestarian Kewangan (Teras 4)
- Tempat Ketiga Kategori Kecemerlangan Penyelidikan (Teras 2)
Kejayaan menyeluruh ini membuktikan komitmen tinggi STML dalam memperkasa kecemerlangan akademik, penyelidikan, perkhidmatan serta jaringan strategik bersama komuniti dan industri, sejajar dengan aspirasi Pelan Strategik UUM dan dasar pendidikan tinggi negara.
“Saya merakamkan penghargaan kepada seluruh warga pusat pengajian atas usaha dan kerjasama berterusan yang menjadi pemangkin kejayaan ini.
“Saya amat berterima kasih kepada seluruh warga STML atas usaha gigih, semangat berpasukan, dan dedikasi berterusan yang menjadi pemangkin kepada pencapaian luar biasa ini. Kemenangan dua tahun berturut-turut ini membuktikan bahawa STML berada pada landasan yang betul dalam mendukung kecemerlangan universiti,” katanya.
STML akan terus komited dalam memperkukuh budaya kerja cemerlang dan berimpak tinggi demi menyumbang secara berkesan kepada pembangunan universiti dan kemajuan negara. – Salina Ali