Campus

STML UUM kukuhkan kerjasama dengan LKTN Jitra dalam projek penanaman kenaf dan Eco-green Biofeed

Berita & gambar oleh: Nur Azean Baharom

JITRA, 5 Februari 2026 – Pasukan penyelidik dari Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi & Logistik (STML), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah melawat Lembaga Kenaf & Tembakau Negara (LKTN) di Jitra, Kedah, hari ini. Lawatan ini bertujuan memperkukuh hubungan strategik dan meneroka peluang kerjasama khususnya dalam projek tanaman kenaf serta penghasilan inovasi baharu Eco-Green Biofeed di UUM.

Delegasi STML UUM diketuai oleh Dr. Nur Syazwani Mohd Nawi bersama-sama tiga lagi ahli akademik utama, iaitu Dr. Maheera Mohamad, Dr. Mawaddah Mohamad, dan Dr. Nooraini Ismail disambut mesra oleh pasukan LKTN Jitra yang diketuai oleh En. Padeli bin Mohamed, Pengurus Wilayah Utara LKTN, dan En. Wan Ahmad Akmal Faesal Ahmad Juhari, Pegawai Negeri LKTN Kedah, serta beberapa orang staf LKTN yang lain.

Perbincangan utama memfokuskan kepada dua teras kerjasama. Pertama, membincangkan secara mendalam mengenai projek tanaman kenaf yang boleh diusahakan di UUM. Para penyelidik UUM berkongsi perkembangan dan cabaran projek tersebut, manakala pakar LKTN memberikan input teknikal dan nasihat berpengalaman dalam aspek penanaman, penuaian, dan pengurusan tanaman kenaf yang optimum.

Kedua, kedua-dua pihak berbincang dengan aktif mengenai potensi penghasilan inovasi baharu Eco-Green Biofeed untuk ternakan ruminan berasaskan kenaf. Kenaf yang kaya dengan serat dan protein berpotensi besar sebagai bahan asas utama dalam formulasi makanan ternakan yang mampan, berkhasiat tinggi dan kos efektif.

Kerjasama penyelidikan dalam pembangunan Eco-Green Biofeed ini dilihat dapat menjana produk hijau bernilai tambah tinggi serta menyumbang kepada kelestarian industri pertanian dan penternakan negara.

Sebagai sebahagian daripada lawatan, rombongan STML UUM turut dibawa melawat Pusat Pemprosesan Biji Benih Kenaf LKTN. Lawatan ini memberi peluang berharga kepada delegasi UUM untuk melihat secara langsung proses pemprosesan, pembersihan, dan pensijilan biji benih kenaf berkualiti tinggi.

Pendedahan ini amat penting bagi menyokong projek tanaman di UUM dan memahami rantaian nilai industri kenaf daripada benih hingga ke produk akhir seperti Eco-Green Biofeed.

Dr. Nur Syazwani Mohd Nawi, selaku ketua rombongan, dalam ucapan ringkasnya menyatakan, “Lawatan ini amat bermakna dan produktif. Ia bukan sekadar menjana idea untuk penyelidikan bersama, malah mengukuhkan lagi jaringan industri-akademia. LKTN adalah rakan strategik yang mempunyai kepakaran dan infrastruktur lengkap. Kita di STML UUM pula mempunyai kepakaran dalam pengurusan rantaian bekalan, logistik, dan inovasi perniagaan. Sinergi ini pasti akan menghasilkan output yang memberi impak bukan sahaja kepada kedua-dua pihak, malah kepada komuniti dan industri agro negara, khususnya dalam menghasilkan Eco-Green Biofeed yang inovatif.”

En. Padeli bin Mohamed pula mengalu-alukan komitmen UUM dan berkata, “LKTN sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi seperti UUM. Penyelidikan aplikatif dan penerokaan produk baharu yang mampan, seperti Eco-Green Biofeed, adalah selaras dengan misi LKTN untuk mempelbagaikan dan meningkatkan nilai ekonomi tanaman kenaf secara mesra alam. Kami yakin kerjasama ini akan membuka lembaran baharu dalam industri kenaf Malaysia.”

Lawatan ini diakhiri dengan sesi pertukaran cenderamata dan komitmen untuk merangka kerjasama yang lebih konkrit. Inisiatif ini diharap dapat melonjakkan lagi nama UUM dan LKTN sebagai peneraju dalam bidang agro-teknologi dan pengurusan rantaian nilai pertanian yang mampan di peringkat nasional, dengan fokus kepada produk berteknologi hijau seperti Eco-Green Biofeed.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button