Sulaman kasih permata 3.0 eratkan hubungan warga UBSBM
Berita dan gambar oleh Anis Nabila Khairul Lisa dan Muhammad Fakhrurrazi Hasbullah
SINTOK, 5 Disember 2025: Persatuan Linguistscape dan Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah berjaya menganjurkan Program Sulaman Kasih Permata 3.0 yang berlangsung di Dewan Terbuka, Inasis TNB.

Program berbentuk kekeluargaan ini menghimpunkan lebih 100 orang peserta yang terdiri daripada pelajar dan pensyarah Unit Bahasa, Sastera dan Budaya Melayu (UBSBM), SLCP.
Program ini merupakan acara tahunan UBSBSM yang bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim serta mewujudkan suasana mesra dalam kalangan warga UBSBM melalui pelbagai aktiviti santai dan interaktif antara pelajar Ijazah Sarjana Muda Linguistik dan Teknologi Maklumat dan Sarjana Muda Kesusasteraan Kontemporari dan Pengurusan Industri Kreatif serta pensyarah.

Menurut Ketua USBSM, Dr. Phat Awang Deng, penganjuran program berorientasikan kekeluargaan seperti ini memainkan peranan penting dalam membina hubungan yang lebih harmoni antara warga akademik dan mahasiswa.
Beliau menegaskan bahawa pendekatan tidak formal sebegini mampu mengurangkan jurang interaksi serta menggalakkan persekitaran pembelajaran yang lebih positif dan inklusif.
Sementara itu, Pengarah Program, Aiman Danial Mohd Zaulkarnin, menyatakan bahawa kejayaan penganjuran Sulaman Kasih Permata 3.0 merupakan hasil kerjasama dan komitmen tinggi barisan jawatankuasa pelaksana.

“Pelbagai aktiviti telah dijalankan termasuk permainan berkumpulan, sukaneka, sesi riadah bersama, permainan berasaskan bahasa dan sesi bersama buddies yang dirangka khusus bagi menggalakkan penglibatan aktif peserta serta mencungkil kreativiti dan semangat antara pelajar,” katanya.
Program diakhiri dengan sesi penyampaian hadiah kepada para pemenang aktiviti dan sesi bergambar sebagai kenangan.
Secara keseluruhannya, Sulaman Kasih Permata 3.0 telah mencapai objektif penganjurannya sebagai wadah pengukuhan hubungan kekeluargaan serta kebersamaan dalam kalangan pelajar dan pensyarah UBSBM, SLCP, UUM.



