Campus

Tiga pelajar akademi golf nasional terpilih menyertai kejohanan berprestij Asia-Pacific Amateur Championship (AAC) di Dubai

Gambar oleh Farez Azihan,  Zia Rashid dan Hariz Hezri

SINTOK, 12 Ogos 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) melakar pencapaian membanggakan apabila tiga orang atlet  golf  Akademi Golf Nasional (AGNUUM) terpilih menyertai Asia-Pacific Amateur Championship (AAC) dengan tajaan penuh daripada Asia Pacific Golf Confederation.

Kejohanan yang akan diadakan di  Emirates Golf Club, Dubai pada 23 hingga 26 Oktober 2025 ini merupakan antara kejohanan yang menampilkan barisan pemain-pemain daripada pelbagai negara untuk bersaing merebut kejuaraan berprestij ini.  Tiga pelajar yang terpilih ialah Muhammad Farez Mohd Azihan,  Zia Iqmal Abdul Rashid dan  Muhammad Hariz  Muhammad Hezri.

Ketiga-tiga atlet ini terpilih  berdasarkan kedudukan cemerlang dalam The World Amateur Golf Ranking (WAGR) yang  membuktikan kemampuan atlet AGNUUM untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

Pengarah AGNUUM, Prof Madya Dr. Zaheruddin Othman berkata pencapaian ini adalah bukti  bahawa UUM bukan sahaja unggul dalam bidang akademik, malah berjaya melahirkan bakat sukan golf  berprestasi tinggi selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk melahirkan “The Thinking Athlete(s)”.

“Penyertaan ini bukan sekadar peluang menimba pengalaman, sebaliknya AGNUUM turut menetapkan sasaran tinggi untuk menaiki podium. Kejohanan AAC ini adalah antara kejohanan amatur paling berprestij di dunia, dan kejayaan di sini pastinya akan mengharumkan nama universiti dan negara,” ujarnya.

Menurutnya lagi, penyertaan ini turut menjadi platform promosi strategik untuk menarik minat pelajar luar negara yang menceburi sukan golf agar memilih UUM sebagai destinasi pengajian, sekali gus mengukuhkan kedudukan universiti sebagai hub pendidikan sukan golf bertaraf global.

Asia-Pacific Amateur Championship merupakan kejohanan berstatus tinggi yang menghimpunkan pemain amatur terbaik dari seluruh rantau Asia Pasifik. Pemenangnya secara automatik layak untuk beraksi dalam The Masters Tournament dan The Open Championship Qualifying Series.

Melalui persiapan yang rapi dan semangat juang tinggi, UUM dan AGNUUM optimis bahawa penyertaan tiga atlet ini akan menjadi kebanggaan bersama universiti, negara, dan seluruh peminat golf tanah air. – Norimah Alias

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button