Tiga pelajar sulung dari MBS Perancis jadi pelajar SoIS
Gambar Hazree Hairudin
SINTOK, 2 Oktober 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) menerima kehadiran tiga pelajar sulung dari Montpellier Business School (MBS), Perancis, yang secara rasmi mendaftar bagi Semester A251 di Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS), UUM.
Mereka merupakan antara 286 pelajar baharu yang mendaftar di SoIS bagi semester A251.
Ketibaan mereka menandakan satu detik bersejarah dalam kerjasama akademik antara UUM dan Montpellier Business School, hasil daripada perjanjian dual-degree yang dimeterai antara kedua-dua institusi pada tahun 2023.
Ketiga-tiga pelajar terbabit, yang mengikuti program ijazah sarjana muda dalam bidang Pengurusan Perniagaan Antarabangsa, akan menjalani pengajian selama satu tahun di UUM sebagai sebahagian daripada program dual-degree Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan Antarabangsa (BIBM) UUM dan Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan Antarabangsa (BIBA) MBS.
Dekan SoIS, Prof. Madya Dr. Nazariah Osman berkata, bahawa kehadiran pelajar antarabangsa ini merupakan satu pencapaian penting dalam usaha memperkukuh jaringan global UUM serta meningkatkan pengalaman pembelajaran berbilang budaya di kampus.
“Kami amat berbesar hati menerima kehadiran pelajar dari Montpellier Business School. Ini bukan sahaja membuka ruang kepada pelajar antarabangsa untuk mengenali sistem pendidikan dan budaya Malaysia, tetapi juga memberikan peluang kepada pelajar tempatan untuk berinteraksi dan bertukar pandangan dalam persekitaran yang lebih global,” katanya.
Ketiga-tiga pelajar tersebut turut melahirkan rasa teruja dan berterima kasih atas sambutan mesra yang diberikan oleh pihak universiti. Mereka menyatakan minat untuk meneroka budaya tempatan dan mengambil bahagian aktif dalam aktiviti kampus sepanjang tempoh pengajian mereka di UUM.
Langkah ini dijangka menjadi pemangkin kepada lebih banyak pertukaran pelajar antara UUM dan institusi luar negara pada masa akan datang, sejajar dengan visi universiti untuk menjadi peneraju dalam bidang pendidikan pengurusan bertaraf antarabangsa. – Nor Hidayah Ishak