Campus

TKSU KPT ketuai taklimat pemantauan projek RMKe-13-13 RP1 tahun 2026 di UUM

Gambar oleh Mohd Hairul Nizam Zahari

SINTOK, 12 Januari 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menerima sesi taklimat dan pemantauan Projek Rolling Plan 1 (RP1) di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) Tahun 2026 yang diketuai oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan semalam.

Sesi taklimat yang berlangsung di Executive Development Centre (EDC), UUM itu bertujuan meneliti perancangan, skop serta unjuran perbelanjaan projek-projek pembangunan universiti yang diluluskan di bawah RMKe-13 RP1 bagi tahun 2026.

Turut hadir ke sesi taklimat Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad dan Pengarah Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Infrasturktur (JPPI), Ir Hamdan Noh.

Sebanyak lima projek utama dicadangkan merangkumi inisiatif penambahbaikan infrastruktur kampus, kemudahan pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta sistem sokongan universiti.

Antara projek yang dibentangkan ialah perolehan perabot bagi melengkapkan fungsi Bangunan Tambahan Pusat Komputer UUM.

Projek ini melibatkan penyediaan perabot dan perkakasan pejabat, bilik mesyuarat, ruang sokongan serta pemasangan perabot bina dalam bagi menyokong operasi pentadbiran bangunan yang telah siap pada 23 Disember 2025.

Selain itu, projek menaik taraf dan membaik pulih kemudahan infrastruktur yang berisiko kepada pelajar di kampus utama turut dibentangkan dan akan dibuat penambahbaikan sejajar dengan kepentingan dan kemudahan pelajar UUM.

UUM turut mencadangkan projek penggantian dan perolehan peralatan usang di 28 unit makmal PdP kepada peralatan digital dan berteknologi pintar.

Projek ini melibatkan penggantian sistem audio visual digital, peralatan elektrik dan rangkaian, komputer PdP, sistem penyaman udara, kemudahan bilik darjah maya serta kerja-kerja membaik pulih makmal.

Bagi memastikan kebolehpercayaan bekalan tenaga elektrik kampus, satu projek menaik taraf kabel voltan tinggi Sistem Ring Dua (2) yang telah berusia lebih 35 tahun turut dicadangkan yang mana melibatkan penggantian kabel sepanjang kira-kira 11,000 meter bagi menyalurkan bekalan elektrik yang lebih selamat dan stabil ke bangunan akademik, pentadbiran dan pusat penginapan pelajar.

Turut dibentangkan ialah projek penggantian dan perolehan sistem mekanikal usang di bangunan akademik dan pentadbiran, meliputi sistem air handling unit, modular chiller, lif, papan suis utama serta sistem penyaman udara berasingan.

Dr. Mohd Nor Azman menegaskan kepentingan perancangan rapi, pematuhan spesifikasi teknikal dan pelaksanaan berfasa agar setiap projek yang diluluskan memberi impak optimum kepada kesejahteraan warga universiti serta menyokong agenda pendidikan tinggi negara.

Beliau turut mengadakan lawatan tapak ke beberapa lokasi terpilih di sekitar kampus bagi meninjau secara langsung kemajuan pelaksanaan projek serta keadaan sebenar kemudahan yang terlibat.

Antara lokasi yang dilawati adalah Bangunan Canselori, Bangunan Perpustakaan Sultanah Bahiyah, Bangunan Perpustakaan Sultanah Bahiyah Tambahan, Bangunan TISSA dan Bangunan Kelab Golf. – Noor Zafiera Ahmad Idris

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button