Tujuh staf UUM dinaikkan pangkat
Gambar Hairul Nizam Zahari
SINTOK, 14 April 2025: Seramai tujuh staf Universiti Utara Malaysia (UUM) menerima watikah kenaikan pangkat dalam satu majlis yang berlangsung pagi tadi di Bilik Mesyuarat Naib Canselor.
Watikah tersebut disampaikan oleh Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan, melibatkan lima staf akademik yang kini bergelar Profesor VK7 dari pelbagai pusat pengajian, serta dua staf pentadbiran yang dinaikkan pangkat ke Pegawai Perubatan UD12.
Salah seorang penerima, Prof. Dr. Halimah Abdul Manaf, menyifatkan pengiktirafan ini sebagai dorongan untuk terus menyumbang kepada perkembangan akademik dan penyebaran ilmu.
“Saya juga yakin bahawa pemberian ini adalah satu bentuk penghargaan yang mana universiti sangat menyokong dari segi perkembangan akademik dan juga perkongsian ilmu yang dibuat oleh ahli akademik.
“Harapan saya semoga lebih ramai lagi rakan akademik yang berjaya ke kenaikan pangkat sebagai profesor dan kami boleh menyumbang dengan lebih agresif di peringkat tempatan dan juga antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, Dr. Asfarina Abdul Razak, pegawai perubatan yang turut menerima kenaikan pangkat, berharap pencapaian ini dapat memberi motivasi untuk berkhidmat dengan lebih profesional dan beretika.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pendaftar, Ahmad Rasidi Abdullah. – Nurul Hana Ahmad (Pelajar Pelatih USIM)