UUM anjur kuliah perdagangan bersama MATRADE kupas dunia perdagangan antarabangsa
Gambar oleh Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB)
SINTOK, 7 Januari 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) telah menganjurkan Kuliah Perdagangan bersama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bagi mengupas isu dan peluang dalam dunia perdagangan antarabangsa.

Program yang berlangsung di Dewan Kuliah Gugusan (DKG) 3/8 itu telah disampaikan oleh Pengarah MATRADE Wilayah Utara, Encik Har Man Ahmad, yang berkongsi pengalaman serta pandangan berkaitan ekosistem perdagangan global, peranan MATRADE dan peluang yang boleh diterokai oleh graduan serta warga akademik.
Menariknya, Encik Har Man Ahmad merupakan alumni UUM bagi program Sarjana Muda Ekonomi dan telah bergraduat pada tahun 2000, sekali gus mencerminkan kejayaan graduan UUM dalam menerajui sektor strategik negara.

Dalam sesi perbincangan bersama Dekan SEFB, Prof. Madya Dr. Bakti Hasan Basri, kedua-dua pihak iaitu SEFB dan MATRADE telah bersetuju untuk memperkukuh kerjasama strategik melalui penganjuran Bengkel Perdagangan Malaysia–Jepun yang dijangka berlangsung pada Oktober 2026 bertempat di Executive Development Centre (EDC), UUM.
Selain itu, Dr. Normizan Bakar, Pengerusi Program Pasca Siswazah Ekonomi, turut mencadangkan kerjasama penyelidikan di bawah inisiatif Export Lab, khususnya dalam kajian berkaitan prestasi dan strategi eksport negara.
Penganjuran kuliah ini dilihat sebagai platform penting dalam merapatkan hubungan antara universiti dan industri, di samping menyokong usaha UUM dalam melahirkan graduan yang berdaya saing dan peka terhadap keperluan ekonomi global. – M. Khairy Mukhtaruddin



