UUM dan IIM perkukuhkan kerjasama
Gambar Muhammad Shamsul Shafie
SINTOK, 16 Mac 2025: Majlis Berbuka Puasa Bersama Institut Integriti Malaysia (IIM) bersama Universiti Utara Malaysia (UUM) mempereratkan hubungan antara kedua-dua institusi dalam usaha memartabatkan integriti dan nilai-nilai murni.
Majlis iftar ini turut dihadiri oleh pengurusan tertinggi kedua-dua institusi, pensyarah, serta staf.
Dalam majlis tersebut, kedua-dua pihak menyatakan komitmen untuk bekerjasama dengan lebih rapat serta memanfaatkan kesempatan tersebut untuk bertukar pandangan dan merancang langkah-langkah kerjasama masa depan.
Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, dengan adanya kerjasama ini, UUM dan IIM berhasrat untuk memperkukuhkan lagi budaya integriti seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara yang lebih baik.
Beliau amat berbesar hati dengan kunjungan tersebut dan mengalu-alukan kedatangan mereka.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Institut Integriti Malaysia, khususnya kepada Ketua Pegawai Eksekutif, Rahman Mohd Din kerana berkunjung dan bersama-sama berbuka puasa di EDC-UUM.
“Kunjungan tersebut antara lain untuk membincangkan bentuk kerjasama yang boleh diperkukuhkan di antara UUM dengan Institut Integriti Malaysia ,” katanya.
IIM, yang terkenal dengan pelbagai inisiatif dalam mempromosikan integriti, berharap dapat memberi pendedahan yang lebih mendalam tentang kepentingan integriti dalam kehidupan profesional mereka. – Siti Fatimah Abdullah