Campus

UUM dan LZNK meterai MoA dalam SDG Summit 2025, perkukuh kerjasama demi pembangunan mampan

Gambar Shamsaimi Ezil

SINTOK, 8 Oktober 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) meneruskan komitmen dalam menyokong agenda pembangunan mampan apabila menjadi tuan rumah kepada SDG Summit 2025, yang turut menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bersama Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK).

Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani.

Dalam ucapannya menekankan kepentingan Matlamat Pembangunan Mampan Pertama (SDG 1): Tiada Kemiskinan, yang menjadi asas kepada kesejahteraan masyarakat dan kemajuan negara.

“Saya yakin kolaborasi ini akan memperluas jaringan ilmu dan memberi manfaat langsung kepada komuniti melalui program berimpak tinggi,” katanya yang turut menzahirkan penghargaan atas kerjasama strategik antara UUM dan LZNK.

Majlis turut dihadiri oleh Prof. Madya Dr. Raja Haslinda Raja Mohd. Ali, yang menjalankan tugas Dekan, Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM) dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi), Lembaga Zakat Negeri Kedah, Dr. Mohd Faisal Mustaffa.

Acara diteruskan dengan ucaptama oleh Dr. Mohd Faisal, yang menyampaikan pembentangan bertajuk “Membangun Dunia Lebih Mampan: Tindakan Hari Ini untuk Masa Depan”.

Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan tindakan kolektif dalam memperkasa kesejahteraan sosial dan ekonomi melalui kerangka pembangunan mampan berteraskan nilai-nilai Islam.

Beliau turut mengetengahkan peranan penting zakat sebagai mekanisme pengagihan semula kekayaan dan instrumen sosioekonomi yang mampu mengurangkan jurang kemiskinan.

Dr. Faisal turut menekankan komitmen LZNK dalam memperkukuh tadbir urus zakat, memperluas capaian agihan kepada golongan asnaf, serta menyokong pelbagai inisiatif pembangunan mampan di peringkat akar umbi.

Kemuncak majlis menyaksikan pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA) antara UUM dan LZNK, sebagai simbolik kepada jalinan kerjasama dalam bidang penyelidikan, pendidikan dan pelaksanaan program berimpak tinggi yang menyokong pencapaian Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).

Majlis diakhiri dengan sesi bergambar bersama semua tetamu jemputan dan delegasi sebagai tanda kenang-kenangan dan penghargaan atas keterlibatan semua pihak dalam menjayakan program ini. – Ahmad Khalidi Abdul Halim

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button