Campus

UUM kukuhkan jalinan akademik serantau bersama PSU Thailand

Gambar Muhammad Shamsul Shafie

SINTOK, 24 April 2025: Program SEFB 14 Days International Summer School 2025 menjadi platform kepada Universiti Utara Malaysia (UUM), melalui Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), untuk memperkukuh jalinan kerjasama akademik serantau bersama Prince of Songkhla University (PSU), Thailand.

Program tersebut telah dirasmikan oleh Penolong Naib Canselor UUM College of Business (UUM COB), Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad, dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan Seminar B, Kompleks Konvensyen, semalam.

Turut hadir ialah delegasi dari PSU yang diketuai oleh Dekan Fakulti Perdagangan dan Pengurusan, PSU Kampus Trang, Prof. Madya Dr. Parichart Maneemai, dan Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) SEFB, Dr. Diara Md Jadi.

Menurut Dr. Ram, penganjuran program ini melambangkan usaha berterusan universiti dalam memperkukuh kecemerlangan akademik serta memperluas jaringan kerjasama dengan industri dan institusi antarabangsa.

“Saya berasa bangga menyambut kehadiran rakan strategik serta tetamu dari dalam dan luar negara.

“Saya yakin program ini merupakan permulaan kepada lebih banyak inisiatif bermakna yang bakal digerakkan oleh SEFB,” katanya ketika berucap pada majlis pembukaan program tersebut.

Beliau berkata, program ini juga memberi penekanan kepada penggunaan bahasa Inggeris dan ilmu pengurusan sebagai teras dalam pembangunan akademik dan profesional pelajar.

Sementara itu, Dr. Parichart menyatakan bahawa penglibatan PSU dalam program ini mencerminkan komitmen institusi tersebut terhadap pengukuhan kerjasama serantau dalam bidang pendidikan tinggi.

“Saya percaya bahawa melalui persefahaman dan perkongsian ilmu, kita mampu melahirkan pemimpin masa depan yang berfikiran global serta berpijak di bumi nyata.

“Saya amat berbesar hati dapat hadir ke program ini dan berharap kerjasama antara kedua-dua institusi dapat diteruskan dengan lebih erat pada masa akan datang,” katanya.

Majlis turut diserikan dengan sesi pertukaran cenderamata antara UUM dan PSU sebagai simbol komitmen bersama dalam memperkukuh hubungan akademik dan penyelidikan antara kedua-dua institusi.

Selain itu, turut diadakan persembahan kebudayaan oleh Kelab Bidasari dan tayangan video recap tentang perjalanan program terdahulu. – Nurul Hana Ahmad (Pelajar Pelatih dari USIM)

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button