Campus

UUM libatkan pemimpin pelajar bangunkan Pelan Strategik Fasa IV

Gambar Muhammad Shamsul Shafie

SINTOK, 23 Jun 2025: Selaras dengan komitmen terhadap tadbir urus yang inklusif dan berteraskan nilai-nilai kebersamaan, Universiti Utara Malaysia (UUM) mengalu-alukan penglibatan aktif pelajar dalam proses merangka Pelan Strategik UUM Fasa IV (2026–2030).

Pendekatan ini mencerminkan iltizam universiti untuk memastikan setiap suara warga kampus, khususnya generasi muda yang bakal mewarisi kepimpinan masa depan, didengar dan diambil kira dalam membentuk hala tuju strategik yang lebih dinamik dan lestari.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, inisiatif ini sebagai pengiktirafan terhadap peranan MPP dalam membantu merangka pelan strategik universiti.

“MPP merupakan antara pemegang taruh (‘stakeholder’) terpenting dalam universiti. Jika mereka tidak terlibat, sudah tentu rancangan strategik kita tidak akan lengkap, kerana pandangan pelajar sangat penting bagi memastikan matlamat universiti selari dengan hasrat dan wawasan Kementerian Pendidikan Tinggi, khususnya dalam aspek pemerkasaan mahasiswa.

“Bengkel ini tepat pada masanya kerana input daripada MPP mampu mencorakkan hala tuju UUM secara lebih menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan sesebuah pelan strategik hanya dapat dicapai jika semua pemegang taruh kampus dilibatkan, termasuk mahasiswa sebagai identiti penting institusi pengajian tinggi, sama ada awam mahupun swasta.

“Saya berharap MPP dapat memberikan maklum balas terbaik dalam sesi ini demi menambah baik pelan strategik dan hala tuju UUM.

“Sesi ini pastinya akan melibatkan pelbagai input, pandangan, kritikan dan isu yang wajar diketengahkan,” katanya ketika merasmikan Bengkel Hala Tuju Pelan Strategik Fasa 4 (2026–2030) bersama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di Future Learning Lab, UTLC, pagi tadi.

Bengkel ini dibahagikan kepada lima kumpulan fokus utama iaitu Pemerkasaan Mahasiswa, Latihan dan Akademik, Komunikasi Korporat, Kebajikan, serta Governans.

Pengarah Bahagian Perancangan dan Pengurusan Korporat (BPPK), Prof. Dr. Nor Aziah Abd. Manaf berkata, bengkel ini diadakan sebagai sebahagian daripada usaha merangka Pelan Strategik Universiti 2026–2030.

“Setiap pelan strategik yang dirangka sentiasa melibatkan elemen mahasiswa dan aktiviti pelajar, justeru adalah penting untuk memastikan kedua-duanya selari dan saling menyokong.

“Penglibatan sesi ini bukan sahaja melibatkan MPP, tetapi juga semua staf akademik, pentadbiran, profesor, ketua pusat tanggungjawab (PTJ), Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JPU) serta pihak industri. Diharapkan segala suara dan pandangan yang dikongsikan dapat diambil kira,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua, Majlis Perwakilan Pelajar Sesi 2024/2025, Mohamad Amar Aidid Mohd Zain berkata, penglibatan MPP dalam sesi libat urus Pelan Strategik merupakan suatu langkah progresif yang sangat dialu-alukan oleh barisan kepimpinan mahasiswa.

“Kesudian pihak pengurusan tertinggi universiti melibatkan wakil mahasiswa dalam proses penting seperti ini jelas mencerminkan komitmen UUM terhadap prinsip keterbukaan, ketelusan dan kolaborasi inklusif.

“Ia juga membuktikan bahawa pandangan mahasiswa bukan lagi hanya dilihat sebagai suara pinggiran, sebaliknya sebagai suara penting yang mampu menyumbang secara konstruktif terhadap perancangan masa depan universiti,” katanya.

Menurutnya, sesi ini telah memberi peluang kepada MPP untuk mengemukakan pelbagai pandangan, cadangan dan aspirasi mahasiswa yang merangkumi aspek kesejahteraan pelajar, kebolehpasaran graduan, kemampanan kampus, pengantarabangsaan, serta inovasi dalam pendidikan.

Katanya, pengalaman ini juga membuka ruang untuk mahasiswa memahami secara lebih mendalam proses perancangan strategik yang dilalui oleh institusi pengajian tinggi.

“Kami yakin dan percaya bahawa keterlibatan seperti ini bukan sahaja memperkasa suara mahasiswa, tetapi turut mendidik generasi pemimpin masa depan tentang pentingnya tadbir urus yang inklusif dan berpandangan jauh,” katanya.

MPP turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak universiti atas kepercayaan yang diberikan dan berharap agar budaya libat urus seperti ini dapat diteruskan secara berterusan dalam pelbagai aspek pembangunan universiti. – Siti Fatimah Abdullah dan Nurul Hana Ahmad (Pelajar Pelatih dari USIM)

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button