Campus

UUM melalui CUIC teroka kerjasama strategik bersama Sunton Power dalam latihan industri

Gambar oleh Siti Nazirah Jaya

SINTOK, 29 Julai2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus komited memperluas jaringan strategik bersama pihak industri melalui satu sesi perbincangan secara dalam talian bersama Sunton Power Sdn. Bhd., sebuah syarikat global yang mengkhusus dalam pembuatan bateri litium berprestasi tinggi.

Sunton Power Sdn. Bhd. merupakan anak syarikat kepada Sunton New Energy, yang beribu pejabat di China dan diiktiraf sebagai antara peneraju dalam teknologi tenaga boleh diperbaharui. Syarikat ini mempunyai operasi cawangan di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, dengan fokus kepada inovasi dalam penyelesaian penyimpanan tenaga dan pembangunan tenaga hijau yang mampan. Produk dan teknologinya digunakan secara meluas dalam sektor tenaga solar, kenderaan elektrik, dan penyimpanan tenaga industri.

Sesi perbincangan melibatkan wakil Sunton Power Sdn. Bhd. iaitu Ms. Rishona Perera dari Jabatan Sumber Manusia, Ms. Silvia Jin selaku Ketua Cawangan Kuala Lumpur, serta Encik Saranesh Kumar, Pengurus Cawangan Kuala Lumpur. Pihak UUM pula diwakili oleh Dr. Nuramalina binti Mohamad Na’in, Penyelaras Latihan Industri dari UUM College of Arts and Sciences (UUMCAS) serta Dr. Safwan Marwin Abd. Murad, Penyelaras Latihan Industri dari UUM College of Business (UUMCOB).

Perbincangan yang berlangsung dalam suasana mesra dan profesional itu memberi tumpuan kepada potensi kerjasama dalam bentuk penempatan pelajar UUM bagi menjalani latihan industri secara berterusan di Sunton Power. Pihak syarikat turut menyatakan minat untuk menawarkan peluang pekerjaan kepada graduan baharu UUM yang mempunyai kemahiran dan minat dalam bidang teknologi tenaga dan kejuruteraan elektrik.

Selain itu, kedua-dua pihak turut meninjau potensi kerjasama jangka panjang yang merangkumi pembangunan profesional staf serta kerjasama penyelidikan antara pensyarah UUM dan pakar industri di Sunton Power, khususnya dalam bidang teknologi hijau dan penyimpanan tenaga.

Inisiatif ini selaras dengan aspirasi UUM untuk memperkukuh hubungan dua hala antara universiti dan industri dalam melahirkan graduan holistik, kompeten dan berdaya saing, seiring dengan agenda pembangunan modal insan negara.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button