UUM meterai Perjanjian ‘Release and Settlement’ bersama Kumpulan METEOR dan ANSI Datascience
Gambar Muhammad Shamsul Shafie
SINTOK, 17 September 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) telah memeterai perjanjian “Release and Settlement” bersama Kumpulan METEOR Sdn. Bhd. dan ANSI Datascience Sdn. Bhd. di Balai Tamu, hari ini.
Majlis pemeteraian tersebut melibatkan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan METEOR, Dato’ Naharudin Ali, dan Ketua Pegawai Eksekutif ANSI Datascience, Mahfuzal Othman.
Dalam ucapan Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, kerjasama strategik bersama dua entiti tersebut merupakan pemangkin kepada pelaksanaan revolusi baharu sistem kewangan UUM.
Menurutnya, sistem Financial Information Management System (FIMS) yang dibangunkan bertujuan untuk mentadbir dan menguruskan hal ehwal kewangan universiti dengan lebih cekap dan efisien.
Katanya, Sistem FIMS UUM telah dilancarkan pada 28 Disember 2021, dan susulan kejayaan pembangunan sistem ini, UUM berjaya memperoleh pensijilan Standard Accounting System For Government Agencies (SAGA) pada Oktober 2024.
“Pensijilan SAGA sangat penting dalam menjamin kebolehpercayaan sistem FIMS dalam melaksanakan operasi kewangan yang selaras dengan keperluan pematuhan yang ditetapkan kepada semua agensi awam.
“Saya berharap perjanjian ‘Release and Settlement’ yang dimeterai hari ini bersama Kumpulan METEOR Sdn. Bhd. dan ANSI Datascience Sdn. Bhd. akan menjadi pelengkap ke arah memacu kecemerlangan industri pendigitalan kewangan universiti,” katanya.
Majlis turut menyaksikan sesi pertukaran dokumen antara kedua-dua pihak yang disaksikan oleh Naib Canselor UUM.
Turut hadir, Penasihat Undang-undang, Prof. Madya Dr. Khadijah Mohamed; Timbalan Bursar, Mohtar Hasim yang menjalankan fungsi Bursar; Pengarah UUMIT, Prof. Madya Dr. Mohd Khairudin Kasiran, serta delegasi dari Kumpulan METEOR dan ANSI Datascience, dan pegawai-pegawai kanan universiti.