Campus

UUM PRESS perkasa pengurusan organisasi melalui bengkel penyelarasan skop tugas

Gambar oleh: UUM Press

SINTOK, 16 Mac 2025: UUM Press telah menganjurkan Bengkel Penyelarasan Skop dan Fungsi Tugas Staf serta Majlis Amanat Pengarah yang berlangsung di Dewan Sri Angsana, EDC-UUM pada 16 Mac 2025.

Program yang melibatkan seramai 44 orang staf UUM Press ini menghimpunkan Pengarah, Timbalan Pengarah, Ketua-Ketua Seksyen serta semua staf dari Seksyen Pentadbiran, Buku Akademik, Buku Teks Universiti dan Modul, Grafik, Jurnal, Percetakan serta Jualan, Pemasaran dan Media.

Bengkel ini dibimbing oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan, Tuan Haji Mohd Fairus Abd Ghani, yang berkongsi pandangan serta membimbing sesi perbincangan berkaitan penyelarasan portfolio kerja dan fungsi tugas staf dalam organisasi.

Beliau turut menyampaikan kata-kata motivasi dan tazkirah ringkas sebagai pengisian rohani bagi menyuntik semangat serta memperkukuh nilai integriti dan komitmen dalam kalangan staf.

Kisah Lata Kare dikongsi sebagai pengajaran dan inspirasi kepada para peserta mengenai kepentingan keikhlasan, kesungguhan serta semangat bekerja secara berpasukan dalam mencapai kecemerlangan organisasi.

Penganjuran bengkel ini bertujuan menyelaras semula portfolio kerja setiap seksyen, memperjelas fungsi tugas dan tanggungjawab staf serta mengenal pasti sebarang pertindihan atau jurang tugas dalam pelaksanaan kerja harian jabatan. Selain itu, program ini turut menjadi platform perbincangan bagi menambah baik aliran proses kerja bagi memastikan penyampaian perkhidmatan UUM Press terus cekap, sistematik dan berkesan.

Sepanjang bengkel berlangsung, para peserta telah terlibat dalam sesi taklimat, perbincangan kumpulan serta pembentangan dapatan oleh setiap seksyen berkaitan skop tugas dan peranan masing-masing dalam menyokong operasi penerbitan universiti.

Program ini turut diserikan dengan Majlis Amanat oleh Pengarah UUM Press, Prof. Madya Dr. Johan Afendi Ibrahim, yang menekankan kepentingan kerjasama berpasukan, kejelasan peranan serta komitmen warga UUM Press dalam memastikan jabatan terus cemerlang dalam bidang penerbitan akademik.

Beliau turut menegaskan “penyelarasan fungsi tugas yang jelas dan tersusun akan membantu meningkatkan kecekapan pengurusan organisasi serta menyokong pencapaian aspirasi Universiti Utara Malaysia sebagai universiti pengurusan terkemuka.”

Melalui penganjuran bengkel ini, diharapkan segala hasil perbincangan dan dapatan dapat dijadikan panduan dalam memperkemas portfolio kerja staf serta memperkukuh keberkesanan penyampaian perkhidmatan UUM Press kepada warga universiti dan masyarakat. – Siti Nur Dina Johary

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button