UUM sertai bengkel penyelarasan program ekonomi MADANI di Kem ATM fasa 2
Gambar oleh Azmin Syiham Ahmad Shatir
KUALA LUMPUR, 9 Ogos 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC) telah menyertai Bengkel Penyelarasan Program Ekonomi MADANI di Kem Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Fasa 2 yang berlangsung pada 8 hingga 9 Ogos 2025 di Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT), Universiti Teknologi Malaysia Kampus Kuala Lumpur.
Bengkel ini merupakan inisiatif bersama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Pertahanan Malaysia (KEMENTAH) bagi memperincikan cadangan projek-projek di bawah fasa kedua Program Ekonomi MADANI di Kem ATM, susulan kejayaan fasa rintis yang melibatkan 35 kem ATM dan pelaksanaan 42 projek oleh 10 Universiti Awam (UA) terpilih di seluruh negara.
UUM diwakili oleh Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam, Pengarah CUIC, dan Dr. Mohamad Farhan Bin Mohamad Mohsin, Timbalan Pengarah (Pemerkasaan Komuniti). Dalam bengkel tersebut, UUM telah membentangkan cadangan Projek Akuaponik sebagai salah satu inisiatif berpotensi meningkatkan taraf sosioekonomi komuniti di kem ATM.
Selain itu, beberapa universiti lain turut mengemukakan projek-projek yang menyasarkan peningkatan sosioekonomi pasangan anggota Angkatan Tentera, antaranya penternakan madu kelulut, tanaman fertigasi, tanaman cendawan, dan tanaman hidroponik. UUM turut menyatakan kesediaan untuk menyertai projek fertigasi dan hidroponik melalui penglibatan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) serta Pusat Kokurikulum (Ko-K), sekiranya diberikan mandat oleh KPT.
Pelaksanaan fasa kedua ini dijangka melibatkan lebih banyak universiti serta memperkenalkan pelbagai projek berfokus kepada peningkatan pendapatan, pemerkasaan komuniti, dan pembangunan ekonomi setempat di kem ATM. Penyertaan ini sekali lagi menzahirkan komitmen UUM untuk terus memperkasa komuniti melalui kepakaran akademik, penyelidikan, dan inovasi yang dimiliki universiti. – Azmin Syiham Ahmad Shatir