UUM suntik semangat patriotisme kontinjen Asasi ke SAM 2026
Gambar oleh Mohd Fuad Hamid
SINTOK, 25 Januari 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) menganjurkan Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Pusat Asasi Pengurusan bagi Kejohanan Sukan Asasi Malaysia 2026 (SAM 2026) sebagai simbol sokongan padu universiti dalam menyuntik semangat patriotisme serta motivasi kepada para atlet yang bakal membawa cabaran institusi ke peringkat kebangsaan.

Majlis yang berlangsung di Foyer Canselori Sultan Sallehuddin, UUM itu telah disempurnakan oleh Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, menerusi penyerahan bendera UUM kepada Pengarah Pusat Asasi Pengurusan UUM, Prof. Dr. Muhammad Fuad Othman, selaku wakil rasmi kontinjen.
Dalam ucapannya, Naib Canselor menegaskan bahawa majlis berkenaan bukan sekadar acara simbolik, malah berperanan penting dalam memupuk semangat juang, disiplin serta kesedaran terhadap tanggungjawab yang dipikul oleh setiap atlet.

“Penyerahan bendera ini melambangkan kepercayaan dan harapan universiti agar para atlet bukan sahaja berjuang untuk kemenangan, malah menampilkan sahsiah terpuji, semangat kesukanan yang tinggi serta mencerminkan imej positif UUM di gelanggang pertandingan,” katanya.
Kejohanan Sukan Asasi Malaysia merupakan sebuah program tahunan di peringkat kebangsaan yang telah diperkenalkan sejak tahun 2018 dan dianjurkan oleh Majlis Dekan dan Pengarah Pusat Asasi Universiti Awam.
Penganjuran kejohanan ini dilaksanakan secara bergilir-gilir dengan penglibatan universiti awam serta Kolej Matrikulasi di seluruh negara.

Bagi edisi tahun 2026 pula, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) telah dilantik sebagai tuan rumah rasmi Kejohanan Sukan Asasi Malaysia Ke-9 2026 yang akan berlangsung dari 30 Januari hingga 1 Februari 2026.
Kejohanan tersebut melibatkan penyertaan daripada 13 buah Pusat Asasi Universiti Awam, sebuah Kolej Matrikulasi iaitu Kolej Matrikulasi Selangor serta Politeknik dari seluruh negara.

Kontinjen Pusat Asasi Pengurusan UUM bakal menyertai sembilan acara sukan, antaranya bola sepak, bola jaring, bola tampar, badminton, catur, tenpin boling, olahraga serta e-sukan.
Pada edisi kali ini, kontinjen meletakkan sasaran lima pingat emas sebagai pencapaian terbaik yang ingin diraih sepanjang kejohanan.
Majlis tersebut turut menjadi platform penting dalam menyuntik keyakinan dan motivasi kepada para atlet agar beraksi dengan penuh semangat patriotisme, memikul amanah universiti serta mengekalkan imej dan kecemerlangan UUM di peringkat kebangsaan.



