Campus

UUM ungguli sukan rakyat KASPIM 2025 dengan 7 emas

Gambar oleh: Mohd Yusnaidi Md. Sabri

MELAKA, 27 Julai 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) mencatat kejayaan membanggakan apabila meraih tujuh pingat emas menerusi acara Sukan Rakyat Berpasukan dalam Kejohanan Sukan Pusat Islam Institusi Pengajian Tinggi Malaysia (KASPIM) 2025, sekali gus meletakkan UUM sebagai antara kontinjen paling menyerlah dalam kejohanan peringkat kebangsaan itu yang berlangsung di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Kesemua pingat emas yang dimenangi UUM disumbangkan menerusi acara berkumpulan dalam Sukan Rakyat Negeri Melaka, sekali gus melonjakkan UUM ke kedudukan keempat keseluruhan dalam kejohanan yang menghimpunkan 11 institusi pengajian tinggi seluruh negara.

Kemenangan bergaya UUM dalam acara sukan rakyat, yang bersifat santai dan berteraskan nilai kekeluargaan Islam, membuktikan keupayaan atlet UUM untuk menonjol dalam pelbagai jenis pertandingan bukan sahaja yang berasaskan kekuatan fizikal, tetapi juga semangat kerjasama dan disiplin berpasukan.

Kontinjen UUM yang diketuai oleh Azhar Ahmad selaku Ketua Kontinjen dan Ahamad Zabadi Mokhtar sebagai Pengurus Pasukan, menghantar seramai 11 orang atlet untuk bersaing dalam semua acara yang dipertandingkan kecuali bola jaring. Kecekapan strategi dan kerjasama kukuh antara ahli pasukan menjadi faktor utama kejayaan dalam acara sukan rakyat berpasukan.

Pengarah Pusat Islam UUM, Mohd Yusnaidi Md. Sabri, turut merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada semua atlet serta staf yang terlibat secara langsung dalam kejayaan tersebut.

“Saya amat berbangga dengan pencapaian kontinjen UUM. Kejayaan ini mencerminkan semangat perjuangan, disiplin dan kesatuan yang tinggi dalam kalangan warga Pusat Islam UUM. Terima kasih juga kepada pihak penganjur, JAHEIS dan UTeM atas penganjuran yang teratur dan berkesan,” katanya.

Menurutnya lagi, kejayaan ini akan menjadi pembakar semangat buat UUM untuk terus melakar kejayaan lebih cemerlang pada edisi KASPIM yang seterusnya, dijadualkan berlangsung pada tahun 2027 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Secara keseluruhan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) muncul juara keseluruhan dengan kutipan 23 pingat (10 emas, 5 perak, 8 gangsa), diikuti Universiti Kuala Lumpur (UniKL) di tempat kedua dengan 8 emas, 4 perak dan 12 gangsa. UTeM selaku tuan rumah menduduki tempat ketiga dengan 7 emas, 1 perak dan 8 gangsa.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button