Campus

UUMKL mula susun langkah anjur bengkel strategik lonjak prestasi 2026

Gambar Hanani Adnan

BUKIT TINGGI, 6 Januari 2026: Universiti Utara Malaysia Kampus Kuala Lumpur (UUMKL) telah menganjurkan Bengkel Pemerkasaan Pentadbiran dan Hala tuju UUMKL 2026 di Colmar Tropicale, Bukit Tinggi.

Program selama tiga hari bermula 29 hingga 31 Disember itu menghimpunkan barisan pengurusan kampus dan beberapa staf pentadbiran dalam usaha menyemak semula struktur pentadbiran serta memperhalusi hala tuju strategik kampus.

Yang Menjalankan Fungsi Ketua Kampus UUMKL, Prof. Dr. Norlena Hasnan berkata, antara objektif utama bengkel ini ialah menyelaraskan struktur pentadbiran mengikut keperluan semasa, memupuk semangat kolaborasi antara unit, meningkatkan keberkesanan tadbir urus dan sistem sokongan pentadbiran serta merangka strategi dan idea baharu bagi penambahbaikan berterusan.

“UUMKL perlu bergerak seiring dengan perkembangan semasa dan memainkan peranan lebih signifikan sebagai pusat pascasiswazah yang strategik di ibu negara.

“Bengkel ini bukan sahaja untuk menyusun struktur, tetapi juga menyatukan tenaga kerja kita ke arah satu matlamat bersama,” katanya.

Beliau turut menekankan pentingnya budaya kerja berpasukan dan komunikasi dalaman yang lebih responsif dalam meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan.

Majlis turut diserikan dengan ucapan daripada Dekan Akademik UUMKL Sesi 2024/2025, Prof. Madya Dr. Ahmad Rizal Mazlan, yang akan memulakan cuti sabatikal bermula 1 Januari 2026.

“Saya amat bersyukur dapat bersama-sama menjayakan bengkel penting ini sebelum memulakan cuti sabatikal.

“Sepanjang berkhidmat di UUMKL, saya menyaksikan semangat kerja berpasukan yang luar biasa dan saya yakin pasukan yang ada mampu melonjakkan nama UUMKL.” katanya.

Bengkel ini dijangka menjadi pemangkin kepada pembentukan pelan tindakan strategik yang lebih mantap dalam memastikan kecemerlangan berterusan UUMKL sebagai kampus pascasiswazah unggul di tengah ibu kota yang berdaya saing. – Nur Afiqah Abu Bakar

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button