Education

Kemajuan teknologi utamakan komunikasi beretika

SINTOK – Mengangkat tema “Composing Our Future: Harmonizing Well-being, Ethics, and Responsibility in Communication”, Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) Universiti Utara Malaysia menganjurkan The 9th International Conference on Communication and Media (i-COME’ 24).

Berucap merasmikan persidangan, Menteri Komunikasi Malaysia, Fahmi Fadzil berkata, dalam aspek inovasi dan kemajuan, kita perlu mempertimbangkan bukan sahaja bagaimana teknologi membentuk komunikasi tetapi juga tanggungjawab yang datang bersamanya.

Jelasnya, masa depan komunikasi dipacu oleh kemajuan teknologi yang tidak pernah berlaku sebelum ini, memerlukan kita beretika, memastikan kesejahteraan rakyat dan menegakkan tanggungjawab dalam ruang digital.

“Dunia digital menawarkan potensi besar untuk pembangunan masyarakat namun menimbulkan risiko lain seperti menjejaskan kesihatan mental melalui maklumat tidak benar, buli siber dan tekanan media sosial.

“Komunikasi beretika bukan sekadar garis panduan ia adalah satu keperluan jadi kita mesti sentiasa berpandukan etika. Letusan maklumat pada platform digital membawa peluang dan cabaran. Salah satu cabaran utama ialah maklumat salah, yang boleh merosakkan kepercayaan, memecah belahkan komuniti dan mengancam nyawa,” ujarnya.

Katanya, Malaysia komited untuk mempromosikan landskap media yang bertanggungjawab dan telus, dengan dasar yang menegakkan kebenaran, ketepatan maklumat dan berintegriti.

“Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengumumkan inisiatif untuk meningkatkan lagi peranan Malaysia sebagai peneraju teknologi. Kerajaan bersedia untuk memperkenalkan ‘National Cloud Policy’ yang memberi tumpuan kepada inovasi perkhidmatan awam, daya saing ekonomi, mengukuhkan keselamatan data dan menggalakkan keterangkuman digital.

“Malaysia sedang bersiap sedia untuk menjadi hab kecerdasan buatan (AI). Bagi memastikan pembangunan AI beretika dan mampan, kerajaan bakal menubuhkan pejabat AI kebangsaan untuk menyelaraskan inisiatif dan membangunkan rangka kerja kawal selia yang akan membentuk masa depan,” ucapnya.

Sementara itu, Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, i-COME’24 bertujuan untuk melakar masa depan komunikasi dengan mengutamakan kesejahteraan, etika dan tanggungjawab sosial sebagai prinsip teras yang membimbing amalan komunikasi.

“Pada abad ke-21, kita telah menyaksikan sendiri bagaimana komunikasi dan media telah berkembang pesat melalui institusi yang bergerak ke arah global dan teknologi digital. UUM turut menggunakan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran.

“Perubahan pesat ini menimbulkan persoalan penting tentang bagaimana prinsip komunikasi dan media kita masih boleh menawarkan penjelasan dan strategi yang komprehensif dalam persekitaran yang dinamik.

“Sudah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memastikan komunikasi kekal sebagai kuasa membawa perubahan positif, memperkasakan individu dan komuniti,” katanya di Dewan Seminar SMMTC, semalam.

Pengarah i-COME’ 24, Nuredayu Omar berkata, acara yang menampilkan sebanyak 70 kertas seminar dibentangkan itu dijalankan secara hybrid dan disertai 80 peserta termasuk dari luar negara seperti Indonesia, China, India, UAE serta Syria.

Katanya, seminar ini menjadi platform perkongsian pengetahuan dalam isu kritikal dan kemajuan dalam komunikasi dan penyelidikan media selain menjalin kerjasama dengan membina perkongsian baharu dan memupuk hubungan dengan pakar komunikasi dan media.

“i-COME’ 24 menangani cabaran kritikal untuk memupuk amalan komunikasi yang bertanggungjawab merentasi semua bidang berkaitan komunikasi terutamanya dalam konteks teknologi digital, dengan tumpuan khusus pada kecerdasan buatan (AI),” ujarnya.

Persidangan ini mewacanakan kesan teknologi dalam komunikasi termasuk pengaruhnya terhadap penciptaan kandungan, kredibiliti sumber dan kecenderungan pengaruh. Selain itu, ia akan meneroka kesan yang lebih luas terhadap budaya, konteks sosial dan organisasi, di peringkat tempatan dan global.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button