470 pelajar dan warga SMK Tanjung Pauh sertai Program SULAM
Berita dan gambar Mohd Mahadi Mohd Razani
JITRA, 18 Jun 2025: Seramai 470 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Pauh telah menyertai Program Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) anjuran Pusat Pengajian Kerajaan (SOG), Universiti Utara Malaysia (UUM).
Program yang bertemakan “Sustainable School: Empowering Young Eco-Leaders” ini berlangsung dengan jayanya dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada pelajar dan seluruh warga sekolah.
Program ini melibatkan penyertaan aktif 78 pelajar UUM daripada kursus GMGAK2023 Dasar Awam, Kumpulan C dan D, di bawah bimbingan dua pensyarah, Zalinah Ahmad dan Dr. Nur Fariha Mohd Noor.
Kepimpinan pelajar dalam program SULAM ini diterajui oleh Nurul Izzah Nabihah Razali dan Muhammad Izzat Iskandar Baharudin yang menunjukkan semangat kesukarelawanan dan keprihatinan tinggi terhadap isu kelestarian alam sekitar.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pengerusi Program Pengurusan Awam yang hadir mewakili Dekan SOG, Mokhtafizam Mokhtar.
Dalam ucapan beliau menekankan peranan penting institusi pengajian tinggi dalam memacu pembangunan komuniti melalui pendekatan pendidikan yang bersifat holistik dan lestari.
“Fokus utama program adalah untuk memupuk kesedaran dan amalan penjagaan alam sekitar dalam kalangan pelajar, terutamanya menerusi penghayatan konsep 3R – Recycle, Reuse dan Reduce.
“Aktiviti-aktiviti seperti pertandingan kolaj bertemakan alam sekitar, sort the waste, crossword puzzle, serta eco-inventors telah dijalankan melibatkan pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3, termasuk pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), dalam suasana pembelajaran yang menyeronokkan dan penuh makna,” katanya.
Sementara itu, Penolong Kanan Pentadbiran, Azammer Azizan mewakili Pengetua SMK Tanjung Pauh menyampaikan ucapan aluan dan merakamkan penghargaan kepada pihak UUM atas kesudian memilih SMK Tanjung Pauh sebagai rakan kolaborasi dalam menjayakan program yang sangat bermakna ini.
Majlis turut disaksikan oleh Yang Dipertua PIBG SMK Tanjung Pauh, Syed Kholed Syed Hanafi; Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Fadli Izwan Md Isa dan Penolong Kanan Pendidikan Khas, Norra Mohamad, yang bersama-sama memberikan sokongan penuh terhadap penganjuran program ini.
Serentak dengan aktiviti pelajar, guru-guru SMK Tanjung Pauh turut terlibat menghadiri program Latihan Dalam Perkhidmatan (LADAP) melalui sesi ceramah khas yang disampaikan oleh wakil Jabatan Alam Sekitar, Mohd Jefri Zainuddin.
Ceramah tersebut memberi penekanan kepada isu-isu semasa berkaitan alam sekitar serta peranan guru dalam menerapkan nilai-nilai kelestarian dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.
Program ini turut mendapat kerjasama dan sokongan daripada agensi luar seperti SWCorp Kubang Pasu dan Jabatan Alam Sekitar Alor Setar yang mengadakan pameran serta perkongsian maklumat berkaitan pengurusan sisa dan penjagaan alam sekitar. Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Changlun juga turut menyumbangkan anak pokok kepada pihak sekolah sebagai simbolik kepada komitmen bersama dalam usaha memelihara dan memulihara alam sekitar.
Secara keseluruhannya, program SULAM ini berjaya mencapai objektifnya dalam memupuk kesedaran serta membentuk sikap kebertanggungjawaban terhadap alam sekitar dalam kalangan pelajar dan warga sekolah. Pendekatan pembelajaran berasaskan perkhidmatan ini membuktikan bahawa penglibatan pelajar universiti dalam komuniti bukan sahaja memperkukuh nilai sivik bahkan menyumbang secara langsung kepada agenda pembangunan lestari negara.