Education

80 pelajar UUM sertai Kursus Kenegaraan Malaysia MADANI

Gambar Nur Alyaa Asneda Ahmad dan Nurul Shahani Sarip

LANGKAWI, 3 Julai 2025: Seramai 80 pelajar Universiti Utara Malaysia telah menyertai Kursus Kenegaraan Malaysia MADANI anjuran Akademi Kenegaraan Malaysia yang berlangsung di Pusat Latihan Kenegaraan Langkawi selama tiga hari, baru-baru ini.

Program  Kenegaraan dan Pembangunan Malaysia itu merupakan anjuran Pusat Pengajian Kerajaan (SOG) dengan kerjasama Persatuan Pengurusan Pembangunan dan Persatuan Pengurusan Awam.

Penasihat Persatuan Mahasiswa Pengurusan Pembangunan UUM, Dr. Adi Syahid Mohd Ali berkata, kursus ini bertujuan untuk memupuk semangat kenegaraan, jati diri, dan kesedaran sivik dalam kalangan peserta selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Program dimulakan dengan sesi taklimat serta penetapan minda, sebelum diteruskan dengan Latihan Dalam Kumpulan LDK 1 pada sebelah malam. Sesi ini memberi peluang kepada peserta untuk saling mengenali dan membentuk asas kerjasama dan komunikasi awal.

Hari kedua diteruskan dengan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bertemakan kenegaraan di Pantai Cenang yang melibatkan peserta menjalankan temubual dan penggambaran video berkaitan pengetahuan masyarakat terhadap negara, isu kenegaraan, serta semangat patriotisme. Selain itu, peserta turut menjalankan aktiviti pembersihan pantai, sebagai simbolik keprihatinan terhadap komuniti dan alam sekitar.

Sebelah petang diteruskan dengan LDK 2 dan LDK 3, yang menekankan aspek pembinaan jati diri dan kepimpinan. Pada sebelah malam, peserta menghadiri ceramah khas berkaitan penulisan resume yang disampaikan oleh dua pensyarah jemputan.

Sesi ini memberi panduan kepada peserta tentang teknik menghasilkan resume yang berkesan dan menepati kehendak pasaran kerja sekaligus menambah nilai diri sebagai warganegara yang berkualiti dan bersedia menyumbang kepada pembangunan negara.

Hari terakhir, dimulakan dengan aktiviti fizikal tali tinggi yang menguji ketahanan mental, fizikal dan kerjasama dalam kalangan peserta. Seterusnya, sesi LDK 4 dijalankan sebagai refleksi dan penutup kepada keseluruhan pengisian kursus.

Program diakhiri dengan Majlis Penutup, yang disempurnakan oleh Penolong Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia Negeri Kedah, Normazi Untong.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa semangat kenegaraan bukan hanya ditanam di bilik kuliah, tetapi perlu diterjemah dalam kehidupan seharian melalui sikap, tindakan dan penglibatan aktif dalam masyarakat.

“Cinta pada negara bukan hanya diucap, tetapi dibuktikan melalui usaha, tanggungjawab, dan kesatuan.

“Malaysia MADANI ialah cerminan rakyat yang berjiwa besar, berintegriti dan bersatu dalam membentuk masa depan yang lebih gemilang,” katanya.

Kursus selama tiga hari ini memberikan pengalaman holistik yang merangkumi aspek intelektual, spiritual dan fizikal yang diharapkan dapat melahirkan barisan pemimpin muda dan warganegara yang berwawasan serta berpandukan nilai-nilai murni Malaysia MADANI. – Nurul Ain Aisyah Rusli

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button