CEDI dan SLCP perkasa keusahawanan sosial
Kupang, 25 Februari 2025: Bengkel Inspirasi Keusahawanan Sosial: ‘Budi Baik by CEDI’ anjuran Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI) dengan kerjasama Jawatankuasa Kebajikan dan Kerohanian, Kelab Kebajikan Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah berjaya dilaksanakan di Maahad Hamalatul Quran, Pondok Titi Mentaling.
Program sehari ini bertujuan untuk memperkasa pemahaman peserta mengenai keusahawanan sosial serta memberi impak kepada komuniti setempat melalui aktiviti kemasyarakatan yang dirancang.
Bengkel ini disertai oleh tenaga akademik, pelajar, serta sukarelawan CEDI dan SLCP yang telah berganding bahu dalam pelbagai aktiviti bermanfaat.
Sepanjang program, peserta didedahkan kepada konsep pemikiran reka bentuk dan penggunaan Persona Canvas untuk memahami keperluan komuniti serta membina penyelesaian keusahawanan sosial yang berkesan.
Bengkel pemantapan program keusahawanan sosial turut diadakan bagi memberi pendedahan kepada peserta tentang perancangan kewangan, strategi pemasaran serta pembangunan model perniagaan yang mampan.
Selain itu, aktiviti gotong-royong turut dijalankan melibatkan kerja mengecat dan mencantikkan pondok pengajian bagi peserta lelaki, manakala peserta wanita mengikuti sesi ‘Simple Baking’ sebagai latihan keusahawanan dalam bidang pemakanan.
Program ini turut mengeratkan hubungan dengan komuniti setempat melalui gotong-royong kenduri rakyat di mana peserta bersama penduduk kampung menyediakan hidangan makan tengah hari secara berjemaah.
Peserta berpeluang mengikuti lawatan ke Tapak Projek Kopi dan Herba Charuk Tualang untuk mempelajari konsep pertanian sosial dan keusahawanan berasaskan sumber tempatan.
Pengarah CEDI, Prof. Madya Dr. Shazida Jan Mohd Khan berkata, program ini merupakan satu inisiatif yang sejajar dengan misi CEDI dalam memperkukuh keusahawanan sosial sebagai satu instrumen untuk membangunkan masyarakat.
“Kami amat berbangga melihat semangat kebersamaan dan keprihatinan yang ditunjukkan oleh semua peserta. Melalui bengkel ini, kami berharap lebih ramai individu dan organisasi akan terdorong untuk menjadikan keusahawanan sosial sebagai alat utama dalam mencipta perubahan positif dalam masyarakat,” katanya.
Menurut Dekan SLCP, Prof. Madya Dr. Khadafi Rafieprogram ini telah memberi pengalaman bermakna kepada para peserta khususnya dalam aspek kepimpinan dan tanggungjawab sosial.
“Bengkel ini bukan sahaja menghubungkan dunia akademik dengan masyarakat tetapi juga menyemai nilai-nilai murni dalam kalangan pelajar dan peserta.
“Kerjasama antara CEDI dan SLCP dalam program ini membuktikan bahawa pendekatan interdisiplin dalam keusahawanan sosial mampu memberikan impak yang lebih besar kepada masyarakat,” ujarnya.
Bengkel ini diakhiri dengan sesi refleksi dan penyerahan sumbangan barangan termasuk pakaian serta makanan kering kepada pihak Maahad Hamalatul Quran sebagai tanda penghargaan atas kesudian menerima kehadiran peserta program.
Secara keseluruhannya, program ini telah mencapai objektif yang diharapkan dan diharapkan dapat diteruskan pada masa hadapan bagi manfaat yang lebih meluas kepada komuniti yang memerlukan. – Akmal Ahlami Md Rozai