Education

Geran Social Takaful Fund (STF) perkasa wanita B40 di Sik melalui projek “bijak wang, bijak hidup”

Berita dan gambar oleh: Dr. Zuliana Azwa Zulkifli

SIK, 15 Mac 2026: Dana Sosial Takaful (STF) merupakan inisiatif kerjasama antara FWD Takaful dan Pusat Pengajian Perniagaan Islam, Universiti Utara Malaysia (UUM) yang bertujuan menyokong pelaksanaan program pembangunan komuniti berimpak tinggi.

Melalui dana ini, usaha memperkasa wanita luar bandar terus diperkukuh menerusi pelaksanaan projek komuniti bertajuk “Bijak Wang, Bijak Hidup: Pemerkasaan Wanita B40 di Sik melalui Literasi Kewangan dan Keusahawanan Sabun Lestari.”

Projek ini diterajui oleh sekumpulan penyelidik daripada UUM yang terdiri daripada Dr. Zuliana Azwa Zulkifli, Prof. Dr. Halimah Abdul Manaf dan Prof. Madya Dr. Zawiyah Binti Mohd Zain dari Pusat Pengajian Kerajaan, serta Dr. Muhammad Fakhirin Bin Che Majid dari Pusat Pengajian Perniagaan Islam.

Menurut Dr. Zuliana Azwa Zulkifli, projek ini dirangka bagi membantu wanita B40 di daerah Sik membina asas pengurusan kewangan yang lebih sistematik, di samping memupuk kemahiran menghasilkan produk sabun lestari yang berpotensi dikembangkan sebagai aktiviti keusahawanan mikro.

“Melalui pendekatan ini, peserta bukan sahaja didedahkan kepada kemahiran menghasilkan produk sabun lestari, tetapi turut diberi pendedahan kepada pengurusan kewangan keluarga, strategi penjanaan pendapatan serta asas pemasaran produk komuniti,” jelas beliau.

Bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan dengan berkesan, pihak penyelidik turut mengadakan sesi perbincangan bersama Majlis Daerah Sik dan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) sebagai rakan strategik dalam menyokong pembangunan komuniti di daerah tersebut.

Dalam sesi tersebut, Majlis Daerah Sik diwakili oleh Tuan Mohd Akmal Bin Azimi, Setiausaha Majlis Daerah Sik, bersama Puan Noor Azila Binti Johan, Ketua Unit Perhubungan Awam dan Komunikasi Korporat. Turut hadir wakil daripada KEDA bagi membincangkan potensi kerjasama dalam memperluas impak program kepada komuniti sasaran.

Program ini dijangka memberi manfaat kepada wanita B40 di daerah Sik melalui pendekatan pembangunan komuniti yang menggabungkan literasi kewangan, pembangunan kemahiran serta keusahawanan berasaskan produk lestari.

Turut hadir dalam sesi tersebut ialah wakil pensyarah daripada Pusat Pengajian Kerajaan (SOG) iaitu Prof. Madya Dr. Rozita Mutalib, Dr. Rosfaraliza Azura Ramli, Dr. Noor Hanis Zainal Abidin, Dr. Zarina Zulkifli serta Dr. Zuliana Azwa Zulkifli yang bersama-sama menyokong inisiatif pemerkasaan komuniti melalui pelaksanaan projek di bawah geran Social Takaful Fund (STF) ini.- Dr Zuliana Azwa Zulkifli.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button