Education

Kelestarian Pulau Tuba 3.0 bentuk pelajar berjiwa kepimpinan dan prihatin komuniti

Berita dan gambar Amirulhafez Abdullah

PULAU TUBA, 20 Mei 2025: Kelestarian Pulau Tuba berjaya membentuk jiwa 28 pelajar dalam kalangan Jawatankuasa Kepimpinan dan Pembangunan Siswa (JKPS) dan lapan staf serta pengetua Inapan Siswa (Inasis) SME Bank dalam Program Pembangunan Kepimpinan dan Kelestarian Pulau Tuba 3.0  bermula 8 hingga 10 Mei lalu.

Pengetua Inasis SME Bank, Dr. Faisal Zulhumadi berkata, program anjuran Majlis Tertinggi JKPS Inasis SME Bank ini bertujuan untuk memperkasa jati diri kepimpinan pelajar melalui gabungan aktiviti pembinaan pasukan, khidmat masyarakat dan kelestarian alam.

Menurutnya, antara pengisian utama adalah termasuk sesi motivasi bersama pelajar Tingkatan 4 dan 5 bagi program “Selangkah ke Universiti” di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Langkawi Pulau Tuba, gotong-royong komuniti di Air Terjun Selat Bagan Nyior, eksplorasi ekosistem paya bakau bersama KOPTUBAS serta aktiviti refleksi kepimpinan.

“Inisiatif ini bukan sekadar latihan lapangan tetapi ia merupakan sebuah platform yang dapat membina empati dan komunikasi dalam kalangan pelajar UUM dan komuniti di Pulau Tuba.

“Mereka belajar untuk memimpin dengan nilai, menyantuni komuniti dan menyumbang secara langsung kepada pembangunan lestari di Pulau Tuba,” katanya.

Program ini secara langsung menyokong beberapa Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 4 (Pendidikan Berkualiti) melalui pendedahan awal pendidikan tinggi kepada pelajar luar bandar, SDG 3 (Kesihatan dan Kesejahteraan Baik) melalui aktiviti fizikal dan penjagaan persekitaran, serta SDG 13 (Tindakan Terhadap Perubahan Iklim) melalui kesedaran terhadap ekosistem bakau dan kelestarian alam.

Program ini turut mencerminkan aspirasi UUM dalam melahirkan graduan holistik, berdaya kepimpinan dan berjiwa masyarakat.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button