KOMPaS anjurkan ILHAM bagi tingkat kompetensi guru SAR Kedah
Gambar Prof. Dr. Norhafezah Yusof
SUNGAI PETANI, 20 Februari 2025: Keprihatinan terhadap pendidikan murid di Kedah telah membawa kepada penganjuran Program Inisiatif Latihan dan Transformasi Asatizah (ILHAM) yang dianjurkan oleh pasukan penyelidik Komitmen Kedah Mendidik Pelajar Sukses (KOMPaS) dari Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK).
Ketua Program KOMPaS, Prof. Dr. Norhafezah Yusof berkata, program ILHAM dirangka sebagai satu inisiatif strategik bagi meningkatkan kompetensi pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam kalangan guru Sekolah Agama Rendah (SAR).
Menurutnya, sepanjang program berlangsung, peserta telah didedahkan dengan pelbagai pendekatan pedagogi terkini, termasuk pengenalan kepada konsep The New Pedagogy for Deep Learning.
Selain itu, menurutnya, mereka turut diberikan pendedahan mengenai proses pentaksiran yang berkesan serta penggunaan alatan digital bagi memperkasakan PdP dengan penerapan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam pendidikan serta penggunaan modul i-Move, sebuah inovasi hasil penyelidikan pasukan KOMPaS yang bertujuan meningkatkan penglibatan murid dalam PdP.
Program ini melibatkan enam orang jurulatih yang berpengalaman luas dalam bidang pendidikan dan komunikasi. Selain Dr. Norhafezah, Prof. Dr. Tengku Faekah Tengku Ariffin dan Dr. Marini Kasim telah mengendalikan sesi latihan berkaitan penggunaan modul iMove, manakala, slot berkenaan penggunaan alatan digital dalam PdP, pentaksiran, dan pembelajaran bermakna dikendalikan oleh Prof. Madya Dr. Hasniza Nordin, Dr. Nurliyana Bukhari dan Dr. Mohd Fairuz Jafar.
Dr. Norhafezah berkata, ILHAM adalah sebuah inisiatif penting bagi membantu guru-guru SAR dalam melaksanakan PdP yang lebih efektif.
Menurutnya, program ini juga merupakan bukti komitmen dan kepedulian ahli akademik UUM terhadap pendidikan dan komuniti setempat.
“Guru-guru SAR memainkan peranan penting dalam membentuk generasi yang berilmu dan berakhlak mulia. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita untuk membantu mereka menguasai kemahiran pedagogi yang sesuai dengan keperluan zaman moden.
“ILHAM bukan sahaja menyediakan latihan yang relevan tetapi juga membuka ruang kepada guru-guru untuk meneroka kaedah baharu dalam menyampaikan ilmu,” katanya.
Manakala, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan JHAEIK, Hasbullah Md Mukhtar berkata, JHEAIK sangat mengalukan kerjasama seperti ini untuk memastikan guru-guru SAR terus berkembang dengan pengetahuan dan kemahiran yang selari dengan perkembangan semasa dalam ucapan penutup program ini.
ILHAM turut membuka jalan kepada lebih banyak kerjasama antara institusi akademik dan pihak berkepentingan dalam usaha memperkasakan pendidikan di Malaysia khususnya di negeri Kedah. Dengan sokongan berterusan daripada pelbagai pihak, inisiatif sebegini pasti dapat membawa impak positif yang lebih besar dalam jangka masa panjang.
Program ini melibatkan enam orang jurulatih yang berpengalaman luas dalam bidang pendidikan dan komunikasi dan lebih 100 guru Sekolah Agama Rakyat dari seluruh negeri Kedah telah terlibat dalam program ini. – Prof. Madya Dr. Romlah Ramli