Education

Latihan bantuan awal kecemasan bantu kesiapsiagaan staf berdepan risiko kecemasan

Gambar Muhammad Muadz Madzlan

SINTOK, 4 Jun 2025: Latihan dan bantuan awal kecemasan telah dilaksanakan di Bilik Seminar Tan Sri Fng Ah Seng, Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA), Universiti Utara Malaysia (UUM) yang melibatkan penyertaan lebih 60 warga kerja UUM.

Ketua Penolong Pendaftar, Abdul Razak Abdul Wahab berkata, program ini dijayakan dengan kerjasama Hospital Aurelius Alor Setar bertujuan meningkatkan tahap kesiapsiagaan dalam berdepan dengan situasi kecemasan seperti kebakaran, kemalangan atau kejadian tidak diduga yang memerlukan tindakan pantas dan teratur.

Menurutnya, latihan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan pejabat Penolong Naib Canselor UUMCOB dan TISSA UUM dalam memastikan setiap warga kerja mempunyai pengetahuan dan kemahiran asas dalam menghadapi sebarang situasi kecemasan.

Latihan kecemasan dimulakan dengan simulasi kebakaran di mana penggera kecemasan dibunyikan sebagai isyarat permulaan proses pengunsian bangunan dan membantu staf yang cedera.

Selesai latihan pemindahan, peserta mengikuti sesi latihan bantuan awal kecemasan yang dikendalikan oleh Pakar Neurosurgeon, Dr. Asrul Fikri Abu Hassan yang turut menyampaikan taklimat ‘Head Injuries Concussion’ kepada peserta.

Antara pengisian program ini adalah demonstrasi kaedah CPR (resusitasi kardiopulmonari), pengendalian pendarahan, rawatan luka serta penggunaan alat bantuan kecemasan seperti AED (Automated External Defibrillator).

Turut sama di dalam program ini adalah Pakar Orthopedik, Dr. Ammar Muizzuddin Manas dengan tajuk ‘Penjagaan Sendi Lutut’, manakala Pakar Nephrologi, Dr. Syed Faisal Taha dengan tajuk ‘Sayangi Buah Pinggang Anda’.

Program ini turut menerima maklum balas positif daripada peserta yang menyifatkan sebagai pengalaman yang memberi kesedaran dan keyakinan untuk bertindak dalam situasi kecemasan, di samping penekanan penjagaan kesihatan adalah salah satu daripada aspek penting yang perlu ditekankan didalam urusan harian kehidupan. – Abdul Razak Abdul Wahab

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button