Education

Lawatan industri SOC kukuhkan hubungan strategik dan sokong CTP

Gambar Noor Aina Norrdin

KUALA LUMPUR, 20 Februari 2025: Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC) telah mengadakan lawatan industri selama tiga hari pada 15 Februari lalu bagi memperkukuhkan hubungan dengan rakan strategik serta meningkatkan pemahaman mengenai perkembangan terkini dalam industri.

Lawatan ini disertai oleh Dekan SOC, Prof. Dr. Osman Ghazali; Pengerusi Jawatankuasa Jaringan Industri & Komuniti SOC, Prof. Dr. Huda Ibrahim; Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Madya Dr. Husniza Husni serta Pengerusi CoPED, Mohd. Rushdi Idrus.

Dr. Osman berkata, tujuan utama lawatan ini adalah untuk meneroka peluang kerjasama yang lebih erat serta memahami cabaran dan inovasi dalam sektor berkaitan.

Sepanjang lawatan, delegasi SOC berpeluang mengunjungi beberapa syarikat utama dalam industri, termasuk TM Digital Academy, CyberSecurity Malaysia, Sedania As-Salam Capital Sdn. Bhd., dan DreamEdge Sdn. Bhd.

Antara agenda utama perbincangan bersama pakar industri mengenai strategi dan teknologi terkini yang boleh dimanfaatkan oleh SOC dalam inovasi sosial berteraskan AI bagi menyokong Projek Transformasi Changlun (CTP) yang telah dilancarkan baru-baru ini di C-Mart.

Dalam sesi perbincangan, empat fokus utama CTP turut diketengahkan, iaitu:

✅ Transformasi Sisa – Menangani masalah banjir kilat di sekitar kawasan Changlun melalui pengurusan sisa yang lebih efisien dan lestari.

✅ Transformasi Ilmu – Membentuk masyarakat yang berdaya saing melalui pendidikan dan inovasi bagi meningkatkan daya intelektual dan kemahiran penduduk.

✅ Transformasi Pelancongan – Membangunkan Changlun sebagai destinasi pelancongan utama, memanfaatkan kedudukannya yang strategik berdekatan dengan sempadan Thailand.

✅ Transformasi Sosial – Memupuk komuniti yang harmoni, selamat, dan prihatin, memastikan kesejahteraan dan kebajikan penduduk sentiasa terpelihara.

Merealisasikan transformasi ini merupakan cabaran besar kerana ia memerlukan masa, usaha, komitmen, dan tindakan kolektif daripada semua pihak.

Lawatan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada organisasi dari segi pertukaran ilmu dan pengalaman, tetapi juga membuka peluang untuk kerjasama jangka panjang yang lebih kukuh.

Dengan kejayaan lawatan ini, SOC berharap hubungan yang terjalin akan terus berkembang, memberi impak positif kepada semua pihak yang terlibat, serta menyumbang kepada pertumbuhan industri dan pembangunan komuniti secara keseluruhan. – Prof. Madya Dr. Husniza Husni

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button