Education

Pelajar Kursus Housekeeping santuni pengusaha inap desa

Gambar STHEM

LANGKAWI, 13 Januari 2025: Seramai 60 pelajar kursus GHOTK 3043 Housekeeping dari Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM), Universiti Utara Malaysia (UUM) bersama pensyarah menyantuni pengusaha inap desa di Kampung Wang Tok Rendong, Langkawi dalam usaha memberi kesedaran tentang pengurusan sisa pepejal domestik untuk kelestarian alam sekitar.

Pensyarah kursus, Dr. Muhammad Fauzi Mokhtar berkata, program selama 2 hari dan 1 malam yang dilaksanakan melalui inisiatif SULAM (Service Learning Malaysia – University for Society) dengan tema Kelestarian Warisan Alam – Cabaran Inap Desa Mendepani Urbanisasi di bawah Jabatan Hospitaliti ini bertujuan untuk membimbing pelajar mendekati komuniti bagi pembangunan holistik model insan melalui kerangka lingkaran tiga pihak melibatkan pelajar kursus, modul kursus dan komuniti setempat.

Menurutnya, program dimulakan dengan pembahagian pelajar kepada beberapa kumpulan keluarga angkat dan taklimat ringkas tentang program sebelum pelajar di bawa ke rumah keluarga angkat masing masing dan acara demonstrasi masakan.

Pelajar telah mempamerkan kaedah untuk membuat makanan dan minuman mudah yang boleh digunakan oleh pengusahan inap desa untuk mereka menyambut tetamu iaitu canape dan air serai. Sebagai usaha timbal balas, orang kampung telah menunjukkan seni membuat roti kirai kepada pelajar.

Acara kemuncak program ialah sesi ceramah oleh Zarina Hashim dari E-Idaman Langkawi, disusuli dengan acara gotong royong pengumpulan sisa pepejal. Jumlah sisa pepejal yang berjaya dikumpulkan dan dijual kepada E-idaman adalah 70 kilogram yang terdiri dari kotak, botol plastik, besi, tin minuman, kertas dan minyak masak. Hasil jualan telah diinfaqkan untuk masjid kampung tersebut dan wang itu diserahkan kepada ketua kampung sebagai wakil masjid.

Pengarah program, Nur Ainna Khalida Jasni, pelajar jurusan Sarjana Muda Pengurusan Hospitaliti berkata, program yang dijalankan ini amat bermanfaat bukan sahaja kepada penduduk kampung, bahkan juga kepada pelajar bagi memastikan alam sekitar menjadi warisan berharga untuk generasi akan datang walaupun berdepan dengan cabaran urbanisasi.

“Mengurus sisa pepejal sangat mencabar kerana kita menghasilkan sampah setiap hari, seperti yang disampaikan oleh jurucakap e-idaman dalam sesi ceramah mereka bahawa kita menghasilkan 150 tan sampah sehari di Langkawi sahaja.

“Ini merupakan satu cabaran besar dan arus kemodenan pula membuatkan kita sering mengetepikan isu pepejal dan ini pasti mengganggu kelestarian alam sekitar. Kita jangan lupa yang kita perlu mewariskan alam sekitar yang bersih dan terjaga kepada generasi akan datang,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Inap Desa Kg. Wang Tok Rendong, Mohtar Shabudin Ismail turut menzahirkan rasa terima kasih kerana memilih kampung tersebut untuk melaksanakan program SULAM ini.

Menurutnya, pengusaha inap desa khususnya dan penduduk kampung amnya sangat memerlukan pengetahuan tambahan sama ada berkaitan dengan alam sekitar atau apa sahaja bidang untuk memastikan penduduk kampung tidak ketinggalan dalam menghayati aspirasi negara demi kepentingan bersama.

“Program seperti ini amat sesuai dilaksanakan di kampung kampung bagi memastikan kami tidak ketinggalan dalam menyahut seruan kerajaan.

“Pengetahuan ini sangat berguna untuk orang kampung kerana kadang kala orang kampung terpinggir dari mendapat pengetahuan tentang sampah dan sisa pepejal yang boleh dikitar semula yang nanti dibeli oleh E-Idaman,” katanya. – Dr. Muhammad Fauzi Mokhtar

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button