Pelajar Program BAH (Kohort 3) timba pengalaman di Galeri Melayu dan Muzium Perang Pulau Pinang
Berita dan gambar Dr. Jazliza Jamaluddin
PULAU PINANG, 22 Mei 2025: Seramai 36 pelajar Kohort 3 program Ijazah Sarjana Muda Sejarah Gunaan (BAH) dari Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP) telah melakukan lawatan sambil belajar pada 16 Mei lalu di Galeri Melayu dan Muzium Perang.
Lawatan ini adalah untuk melengkapi kursus Pengurusan Muzium yang ditawarkan dalam program BAH di bawah Unit Sejarah dan Kenegaraan Malaysia.
Ketua rombongan, Dr. Jazliza Jamaluddin menyatakan bahawa lawatan ini sangat memberi manfaat pada pelajar memahami tentang objektif kursus Pengurusan Muzium dengan dapat menyaksikan secara langsung aspek-aspek yang meliputi perkara utama kursus ini iaitu koleksi, konservasi dan pameran.
Menurutnya, pelajar telah diberi penerangan dengan lebih lanjut tentang artifak dan koleksi yang dipamerkan di Galeri Melayu atau dikenali juga sebagai Rumah Teh Bunga oleh Ketua Galeri Melayu, Siti Syahirah Mohd. Rusdi dan Pengasas Muzium Perang, Johari Shafie.
Pengarah Program, Adam Irfan Zulkifli menyatakan rasa gembira kerana dapat memahami lebih lanjut tentang kursus Pengurusan Muzium.
Menurutnya, lawatan ini mampu membuka ruang dan peluang kepada pelajar mengetahui tentang estetika budaya Melayu dan kekejaman peperangan oleh penjajah dulu.
Turut hadir dalam lawatan ini adalah pensyarah pengiring program BAH seramai enam orang termasuk Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Akademik (HEPA) SLCP, Dr. Nor Azlah Sham dan turut disertai oleh pelajar mobiliti dari Indonesia, Sucahyo Iqbal Rizki yang melahirkan rasa teruja melihat artifak dan tinggalan sejarah di Malaysia.
Keseluruhan dari lawatan ini adalah diharapkan terjalinnya hubungan jangka panjang dengan Galeri Melayu dan Muzium Perang dengan program BAH.