Pelajar UUM ambil pendekatan experiential learning dalam pengurusan MICE
Gambar STHEM
LANGKAWI, 8 Mei 2025: Seramai 59 pelajar Universiti Utara Malalaysia (UUM) bagi program Pengurusan Acara, subjek Pengurusan MICE (Meetings, Incentives, Conventions, Exhibitions) mengambil pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) dengan menjalani lawatan akademik ke Mahsuri International Exhibition Centre (MIEC) dari 2 hingga 4 Mei lalu.
Lawatan ini memberi pendedahan secara langsung kepada operasi pusat pameran mega serta persiapan penganjuran Langkawi International Maritime and Aerospace Exhibition (LIMA 2025) yang merupakan acara bertaraf dunia dan simbol kebitaraan negara.
LIMA 2025 dianjurkan oleh Global Exhibition and Convention Sdn. Bhd. (GEC) dengan kerjasama strategik pelbagai pihak termasuk Kementerian Pertahanan (MINDEF), Kementerian Pengangkutan, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Tourism Malaysia serta pemain industri pertahanan dan penerbangan.
Eksekutif Operasi, Ahmad Faris Yuhyi Faiz, wakil dari GEC selaku penyelaras, telah memberikan taklimat mendalam kepada pelajar mengenai persiapan dan cabaran penganjuran LIMA 2025.
Ketua program, Dr. Azizah Ismail berkata, sepanjang program, pelajar melaksanakan aktiviti game-based learning yang direka bentuk sebagai Explorace.
Menurutnya, aktiviti ini mencabar pelajar untuk menyelesaikan tugasan simulasi yang meniru peranan dalam industri MICE seperti Penganjur Persidangan Profesional (PCO), Biro Konvensyen dan Pelawat (CVB) dan Pengendali Destinasi (DMC). Setiap kumpulan perlu membangunkan strategi pengurusan acara, logistik, serta membentuk jaringan kerjasama dengan stakeholders utama.
Elemen kenegaraan turut diterapkan dengan kerjasama Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) Negeri Kedah, yang menekankan aspek patriotisme, dan peranan anak muda dalam memperkukuhkan imej serta kedaulatan negara melalui penglibatan dalam industri acara bertaraf antarabangsa.
Menurut Dr. Azizah, pendedahan sebegini penting untuk membentuk graduan yang bukan sahaja mempunyai kecekapan teknikal dalam pengurusan acara, malah berjiwa nasional serta memahami kepentingan industri MICE sebagai pemacu ekonomi dan diplomasi negara.
“Melalui Explorace yang mengintegrasikan simulasi dunia sebenar dan elemen kenegaraan, pelajar bukan sahaja memahami aspek operasi dan pengurusan acara mega, malah menyedari bagaimana sektor ini memainkan peranan strategik dalam membina hubungan antarabangsa dan memperkukuhkan kedaulatan negara,” katanya.
Pelajar turut diberi peluang menilai kecekapan ruang MIEC yang bakal menampung ribuan delegasi dan pempamer global, serta mencadangkan strategi pengoptimuman ruang dan pengalaman pengunjung.
Program ini mencerminkan komitmen UUM dalam melahirkan graduan yang berdaya saing di peringkat antarabangsa, bersedia untuk menyumbang kepada pembangunan industri pelancongan, acara dan kenegaraan.
Turut serta, Dr. Hasan Mohamed Zakaria dan Dr. Norwani Mohd Nazari selaku penasihat akademik dan fasilitator pelajar. – Dr. Azizah Ismail