Education

Dr. Rajwani jadi pengucap utama di Persidangan Kerja Social Perubatan Serantau China

Berita dan gambar Prof. Madya Dr. Rajwani Md Zain

TAIWAN, 3 Disember 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus mengukuhkan reputasinya di pentas antarabangsa apabila pensyarah Program Kerja Sosial, Prof. Madya Dr. Rajwani Md Zain dari Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP) dijemput sebagai pengucap tama di 7th Chinese Regional Medical Social Work Conference yang berlangsung pada 21 dan 22 November lalu di Shih Chien University, Taipei.

Dr. Rajwani berkata, jemputan tersebut merupakan satu pencapaian penting kerana ia menandakan kali pertama wakil dari Malaysia diberi penghormatan untuk menyampaikan ucaptama dalam persidangan serantau yang berprestij dalam bidang kerja sosial perubatan.

Dalam ucaptama bertajuk “Integrasi Nilai dan Budaya Islam dalam Profesyen Kerja Sosial Perubatan: Praktis di Malaysia”, Dr. Rajwani berkongsi kepakaran mengenai pendekatan berasaskan nilai Islam yang diaplikasikan dalam intervensi kerja sosial perubatan di hospital-hospital Malaysia.

Perkongsian tersebut menerima perhatian positif daripada para peserta yang berminat memahami dimensi spiritual dan budaya sebagai komponen penting dalam sokongan psikososial kepada pesakit.

Persidangan yang menghimpunkan 350 peserta dan pembentang antarabangsa ini turut disertai delegasi dari Taiwan, Jepun, China, Hong Kong, Macau, Singapura, serta beberapa negara lain.

Program dua hari ini berperanan sebagai platform penting bagi membincangkan perkembangan, cabaran dan inovasi dalam bidang kerja sosial perubatan di rantau Asia Timur.

Penglibatan Dr. Rajwani dalam persidangan tersebut bukan sahaja meningkatkan keterlihatan UUM di peringkat global, malah membuka peluang kepada jaringan penyelidikan, kolaborasi akademik dan pertukaran profesional antara institusi serantau.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button