General

Presiden JCorp dilantik sebagai Profesor Adjung di UUM

Gambar Mohd Fuad Hamid

JOHOR BAHRU, 28 Mei 2025: Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp), Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim telah dilantik sebagai Profesor Adjung di Pusat Pengajian Kerajaan (SOG), Universiti Utara Malaysia (UUM).

Surat pelantikan tersebut disampaikan oleh Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan dan disaksikan oleh Dekan SOG, Prof. Madya PMgr Sr Dr. Mohamad Sukeri Khalid dalam satu majlis yang diadakan di CEREBRUM Menara KOMTAR IIBD, hari ini.

Sempena pelantikan itu, satu program Sinergi Universiti-Industri Bersama Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp akan dianjurkan pada bulan Jun di UUM.

Program tersebut akan melibatkan pensyarah dan pelajar universiti sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh hubungan antara akademia dan industri.

Menurut Dr. Mohamad Sukeri, program berkenaan akan merangkumi dua sesi utama iaitu Program Mentorship: JCorp-UUM Industry Mentorship yang dibuka kepada pensyarah, dan Dialog Bersama Presiden JCorp: Membangunkan Laluan Kerjaya untuk semua pelajar UUM.

Dalam ucapan Datuk Syed Mohamed menyatakan rasa penghargaan atas pelantikan tersebut dan menyambut baik peluang untuk berkongsi pandangan serta pengalaman bersama warga universiti.

Beliau turut menekankan kepentingan dunia digital pada masa kini dan masa hadapan sebagai nadi utama pembangunan organisasi.

Dilantik sebagai Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp sejak Januari 2020, Datuk Syed Mohamed memiliki kepakaran dalam transformasi kepimpinan dan perubahan organisasi.

Beliau komited untuk menerajui JCorp ke arah usaha niaga berteraskan digital, kelestarian dan keterangkuman.

Hadir sama, Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa), SOG, Dr. Sharif Shofirun Sharif Ali dan pegawai-pegawai kanan JCorp.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button