Education

Smart e-Qias bantu komuniti Pusat Penjagaan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak Kedah

Berita dan gambar Prof. Madya Dr. Farah Mohamad Zain

KUBANG PASU, 5 Mac 2025: Satu usaha kolaboratif yang melibatkan kumpulan penyelidik dari Universiti Utara Malaysia (UUM) diketuai oleh Prof. Madya Dr. Siti Noor Ismail telah berjaya melaksanakan inisiatif penting untuk meningkatkan amalan kualiti di Pusat Penjagaan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak (PPAK) di Kedah.

Aplikasi Smart e-QIAS (e-Quality Improvement and Accreditation System) telah diperkenalkan kepada beberapa taska di sekitar negeri ini sebagai alat ukur untuk menilai dan meningkatkan kualiti pengurusan serta pendidikan yang diberikan kepada kanak-kanak.

Usaha ini turut melibatkan ahli penyelidik lain seperti Prof. Madya Dr. Farah Mohamad Zain, Dr. Faizahani Ab Rahman, Dr. Nor Fauzian Kassim, dan Prof. Madya Dr. Aizan Yaacob yang bersama-sama turun padang untuk memberi kesedaran kepada pihak pengurusan taska mengenai kepentingan penggunaan aplikasi Smart e-QIAS.

Dr. Siti Noor berkata, program ini bertujuan untuk menyebarluaskan pengetahuan, kemahiran, dan cara penggunaan aplikasi tersebut kepada semua pihak yang terlibat dalam sektor PPAK, termasuk pengurus dan pendidik PPAK, dan ibu bapa.

Menurutnya, nilai tambah dalam Smart e-QIAS ini adalah dari segi Geotagging, yang mana ianya berfungsi sebagai detector location. Geotagging ini direka bentuk untuk mengesan semua PPAK berdaftar yang berada di sekitar pengguna dalam jarak radius 10 kilometer (km).

Sesi latihan yang dijalankan turut melibatkan penerangan terperinci mengenai cara penggunaan aplikasi Smart e-QIAS, yang membolehkan pengurus dan pendidik PPAK untuk menilai kualiti perkhidmatan, mengenal pasti bidang yang perlu penambahbaikan, serta memastikan pengurusan yang lebih cekap.

Pengusaha tadika di Alor Setar, Syarifah Maisarah Syed Mohamed berpendapat bahawa aplikasi ini dapat membantu pengusaha tadika memberi tumpuan kepada pemantauan berterusan untuk menjamin bahawa semua taska di Kedah dapat menyediakan persekitaran yang kondusif untuk perkembangan kanak-kanak.

Pihak penyelidik juga bertekad untuk terus menyokong komuniti PPAK dengan memberi latihan dan bimbingan secara berkala, memastikan bahawa aplikasi Smart e-QIAS dapat dimanfaatkan dengan sepenuhnya.

Diharapkan usaha ini akan membawa impak positif kepada kualiti pendidikan di seluruh Kedah, sekali gus menjadi contoh kepada negeri-negeri lain dalam melaksanakan amalan pengurusan pendidikan awal kanak-kanak yang lebih berkualiti dan sistematik.

Program ini akan diteruskan di PPAK sekitar negeri Selangor dan Pulau Pinang.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button