SOL dan Majlis Peguam perkukuh hubungan strategik
Berita dan gambar Prof. Madya Dr. Nor Anita Abdullah
KUALA LUMPUR, 3 Julai 2025: Pusat Pengajian Undang-Undang (SoL), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan kunjungan hormat ke Majlis Peguam Malaysia di Wisma Badan Peguam sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh hubungan strategik antara institusi akademik dan Majlis Peguam Malaysia.
Delegasi UUM diwakili oleh Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa, Prof. Madya Dr. Nor Anita Abdullah; Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Madya Dr. Mohammad Azam Hussain dan Pengarah Legal Justice and Research Centre (LJRC), Prof. Madya Dr Rohana Abdul Rahman, manakala Majlis Peguam Malaysia diwakili Presiden, Mohamad Ezri Abdul Wahab; Pengarah di Jabatan Pembangunan Profesional, Vilashini Vijayan dan beberapa pegawai lain.
Dr. Nor Anita berkata, pertemuan ini menjadi platform perbincangan untuk meneroka potensi kerjasama strategic memandangkan Pusat Pengajian Undang-Undang menawarkan program Sarjana Muda Undang-Undang yang melahirkan graduan yang akan memilih kerjaya dalam bidang guaman.
“Graduan ini perlu melalui Latihan dalam Kamar (Pupillage) di bawah seliaan peguam senior dan seterusnya mendaftar sebagai Peguambela dan Peguamcara di bawah Majlis Peguam Malaysia untuk beramal sebagai seorang peguam.
“Oleh itu, pertemuan ini merupakan satu agenda penting untuk membina persefahaman dan kerjasama berterusan dengan organisasi yang sangat dekat dengan bidang guaman ini,” katanya.
Kerjasama ini juga bertujuan untuk memperkukuh hubungan akademik dan profesional antara kedua-dua belah pihak, khususnya dalam bidang latihan guaman, advokasi undang-undang serta pembangunan kompetensi pelajar undang-undang.
Majlis Peguam Malaysia turut menyatakan kesediaan dan bersetuju untuk kerjasama lanjut terutamanya melalui anjuran kursus jangka pendek yang sesuai dan berpotensi memberi tambahan ilmu secara spesifik dan profesioanal kepada pelajar yang bakal bergraduat kelak. Secara tidak langsung, kerjasama ini adalah selari dengan aspirasi universiti dalam melahirkan graduan holistik, berpengetahuan dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.
Sebagai timbal balik kerjasama, perbincangan turut melibatkan penganjuran kursus jangka pendek oleh Pusat Pengajian Undang-Undang untuk ditawarkan kepada para pengamal undang-undang di Malaysia yang berfokus kepada sub-bidang undang-undang bagi membolehkan seseorang pengamal undang-undang mempunyai pengetahuan dan kepakaran mendalam dalam sesuatu bidang umpamanya undang-undang berkaitan kecerdasan buatan.
Secara tidak langsung, kerjasama antara Pusat Pengajian Undang-Undang dan Majlis Peguam Malaysia ini mampu memberi nilai tambah kepada profesion guaman di Malaysia sesuai dengan perkembangan dan kehendak semasa profesion guaman.