Education

UTLC anjur bengkel SoTL, perkasa penyelidikan pengajaran dan pembelajaran

Gambar oleh Nursyauqina Lokman

SINTOK, 10 Mac 2026: Usaha membudayakan penyelidikan pengajaran dan pembelajaran dalam kalangan warga akademik terus diperkasa apabila seramai 45 orang pensyarah daripada pelbagai latar belakang akademik menyertai SoTL Workshop: Developing and Conducting SoTL Research anjuran Pusat Pengajaran dan Pembelajaran Universiti (UTLC), Universiti Utara Malaysia (UUM) yang berlangsung secara fizikal di Future Learning Lab, UTLC.

Bengkel tersebut dikendalikan oleh Prof. Madya Dr. Subashini A/P Annamalai dan Prof. Madya Dr. Siti Seri Delima Abdul Malak, yang masing-masing berkongsi panduan komprehensif berkaitan pembangunan cadangan geran SoTL serta pelaksanaan penyelidikan SoTL secara tersusun dan berimpak.

Dalam sesi perkongsian, Dr. Subashini menjelaskan kerangka penting dalam membangunkan cadangan geran SoTL yang berkesan, termasuk proses mengenal pasti insiden kritikal, membina pernyataan masalah yang jelas, menyelaraskan intervensi dengan persoalan kajian, memilih metodologi yang sesuai serta menyediakan pelan pengumpulan data, refleksi dan diseminasi yang mantap.

Sementara itu, Dr. Siti Seri Delima menekankan aspek pembangunan dan pelaksanaan penyelidikan SoTL melalui amalan pengajaran sebenar di bilik kuliah. Beliau turut menghuraikan kepentingan pemilihan metodologi yang bersesuaian, penggunaan instrumen penilaian yang sistematik serta strategi refleksi dan perkongsian dapatan bagi menyokong penambahbaikan pendidikan secara berterusan.

Program ini turut memberi pendedahan kepada peserta mengenai hubungan antara amalan pengajaran, proses Continuous Quality Improvement (CQI) dan peranan pensyarah sebagai pendidik serta penyelidik dalam ekosistem pendidikan tinggi.

Penganjuran bengkel ini mencerminkan komitmen berterusan UTLC dalam memperkasa budaya pengajaran dan pembelajaran berkualiti di UUM melalui pembangunan kapasiti akademik yang lebih tersusun, reflektif dan berasaskan bukti. – Dr. Muhamad Abrar Bahaman

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button