Education

UUM ANJUR FORUM PASCA BELANJAWAN BERI KEFAHAMAN KEPADA MASYARAKAT

SINTOK – Forum Pasca-Belanjawan 2025 anjuran Universiti Utara Malaysia (UUM) menganalisis peruntukan bajet dan meneroka kesannya terhadap rakyat dan negara.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Russayani Ismail berkata, kita perlu memastikan bahawa Bajet 2025 membawa manfaat yang menyeluruh kepada semua lapisan masyarakat.

“Saya percaya sesi pertemuan dan perbincangan seperti ini mampu menjadi wadah untuk pertukaran idea dan pandangan antara pakar bidang, penganalisis ekonomi dan masyarakat terhadap Belanjawan 2025 yang dibentangkan Perdana Menteri di Parlimen pada 18 Oktober lalu.

“Kita ada barisan panel yang hebat untuk mengupas intipati Bajet 2025 yang bukan hanya sekadar pelan fiskal, ia adalah komponen penting dalam usaha kita mencapai kemakmuran, inklusiviti dan kelestarian Malaysia,” ujarnya.

Menurutnya, rangka kerja ini menekankan pertumbuhan ekonomi yang berpaksikan nilai-nilai murni, dengan memberi tumpuan kepada keadilan, kelestarian, dan penciptaan masyarakat yang lebih seimbang dan harmoni.

“Melalui perspektif inilah kita harus menilai dasar-dasar dan inisiatif yang dicadangkan dalam bajet,” ucapnya ketika merasmikan Forum Pasca-Belanjawan 2025 di Dewan Seminar A, Pusat Konvensyen, UUM, semalam.

Beliau berharap agar forum anjuran bersama Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan (ECOFI), Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Majlis Profesor UUM menghasilkan pandangan yang bernas, seterusnya menyumbang kepada landskap ekonomi negara yang lebih kukuh dan inklusif.

Sementara itu, Dekan SEFB, Prof. Madya Dr. Bakti Hasan Basri berkata, perbincangan ini membolehkan peserta memahami dengan lebih mendalam mengenai Bajet 2025 termasuk memperkasakan komuniti yang terpinggir, modal insan dan inisiatif lain.

“Bajet bukan sahaja bertujuan untuk mengatasi cabaran ekonomi semasa, tetapi juga untuk membina asas ekonomi yang lebih mampan dan inklusif bagi masa hadapan.

“Oleh itu, kita perlu melihat bagaimana peruntukan ini boleh memperkukuhkan jaringan keselamatan sosial, membantu perusahaan kecil dan sederhana, serta memacu inovasi dan teknologi dalam kalangan perniagaan tempatan,” katanya.

Forum ini membariskan tiga panel, Dr. Muhammed Khalid dari Institut Kajian Malaysia Dan Antarabangsa (IKMAS) UKM, Presiden Persatuan Pengguna Kedah, Mohamad Yusrizal Yusoff, dan Prof. Dr. Lim Hock Eam dengan moderator, Prof. Dr Roslan Abdul Hakim dari SEFB.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button