Education

UUM perkasa jalinan akademik antarabangsa di Indonesia, kongsi kepakaran dan promosi program IBS

Berita dan gambar Dr. Noraziah Che Arshad dan Dr. Tubagus Thresna Irijanto

KOTA MATARAM, 5 Jun 2025: Dua pensyarah dari Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM), telah dijemput sebagai tetamu akademik ke Universitas Islam Negeri (UIN) Mataram, Indonesia, dalam satu program lawatan akademik yang berlangsung selama lima hari pada 6 Mei lalu.

Delegasi UUM terdiri daripada Pengerusi Program Pascasiswazah IBS, Dr. Noraziah Che Arshad, dan pensyarah antarabangsa di IBS, Dr. Tubagus Thresna Irijanto.

Kehadiran mereka adalah sebagai jemputan khas dari Fakulti Ekonomi dan Bisnis Islam, UIN Mataram bagi tujuan perkongsian kepakaran dalam bidang kewangan, perbankan dan ekonomi Islam.

Dalam sesi perkongsian utama, Dr. Tubagus telah menyampaikan ceramah perkongsian bertajuk “Awareness of Islamic Financial Planning: Building a Financially Stable and Shariah-Compliant Future”.

Beliau menekankan kepentingan perancangan kewangan Islam dalam membina masa depan yang stabil dan patuh Syariah, sambil menampilkan konsep dan prinsip utama dalam pengurusan kewangan berasaskan nilai-nilai Islam.

Sementara itu, Dr. Noraziah telah memperkenalkan pelbagai program pengajian yang ditawarkan oleh IBS kepada para pensyarah dan pelajar UIN Mataram.

Beliau memberi tumpuan khusus kepada program pascasiswazah seperti sarjana dan doktor falsafah dalam bidang Kewangan dan Perbankan Islam yang dijalankan secara penyelidikan, serta peluang kerjasama akademik antara kedua-dua institusi.

Lawatan akademik ini turut memberi ruang untuk perbincangan kerjasama dua hala antara UUM dan UIN Mataram, termasuk pertukaran pelajar, penyelidikan bersama serta pemantapan jaringan antarabangsa dalam bidang kewangan, perbankan dan ekonomi Islam.

Kunjungan ini mencerminkan komitmen berterusan IBS dalam mempromosikan kecemerlangan akademik serta memperluas capaian global pendidikan melalui perkongsian pengetahuan dan kolaborasi strategik serantau.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button