Education

UUM perkukuh keterlibatan pelajar di Karnival Kerjaya Nasional KPT 2025

Gambar Siti Fatimah Abdullah

KUALA LUMPUR, 23 Jun 2025: Seramai 30 pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menyertai Karnival Kerjaya Nasional KPT 2025 yang berlangsung pada 14 dan 15 Jun lalu di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC).

Karnival dua hari ini merupakan penganjuran berskala besar yang menghimpunkan lebih 100 syarikat dan majikan berprofil tinggi, menawarkan lebih 10,000 peluang pekerjaan kepada pelajar dan graduan.

Antara tarikan utama termasuk sesi temu duga terbuka, aktiviti pembangunan kerjaya, pemberian eWallet Touch ‘n Go bernilai RM10 kepada 500 peserta terawal, serta cabutan bertuah sepanjang acara berlangsung.

Majlis Perasmian Karnival Kerjaya Nasional KPT 2025 telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Dr. Zambry Abd Kadir.

Dalam ucapannya, Dr. Zambry menyeru pelajar untuk memanfaatkan peluang yang disediakan, serta menyebarluaskan maklumat mengenai karnival ini kepada rakan-rakan agar tidak melepaskan ruang kerjaya yang terbuka luas.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada syarikat-syarikat swasta dan antarabangsa yang turut serta dalam membuka ruang kepada pelajar dan graduan untuk mengenal pasti hala tuju kerjaya masing-masing.

Karnival ini juga telah mencatat sejarah penyertaan syarikat terbanyak dalam program seumpamanya dan mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records.

Majlis turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan ACCA Malaysia dan Malaysia Rail Link (MRL), sebagai langkah strategik untuk merapatkan jurang antara kementerian pendidikan tinggi dan industri.

Majlis diteruskan lagi dengan sesi penyampaian sumbangan simbolik 25,000 naskhah e-Book Career Playbook daripada Talentbank kepada Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Hadir sama, Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan, bersama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed.

Selain itu, Pengarah Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolahpasaran Graduan (PPKKG), Dr. Fikriyah Abdullah, turut dijemput sebagai salah seorang mentor kerjaya di karnival ini dan bertanggungjawab dalam semakan resume peserta bagi membantu memperkemas persediaan peserta yang mencari pekerjaan.

Menurutnya, penyertaan ini merupakan salah satu inisiatif pendedahan awal kepada pelajar berkenaan dunia kerjaya sebenar dan keperluan pasaran semasa.

“Karnival ini dapat memberi pendedahan menyeluruh kepada graduan dan orang awam yang sedang mencari pekerjaan mengenai hala tuju kerjaya, peluang pekerjaan, serta kemahiran yang diperlukan sejajar dengan keperluan industri masa kini,” katanya.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Pengurusan Tertinggi KPT, iaitu Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim; Timbalan KSU (Dasar), Dato’ Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian, dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr Azlinda Azman. – Anis Zulaikha Kamal

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button