UUM teraju FGD Pelan Induk Langkawi 2030: Pelancongan regeneratif sebagai pemacu masa depan
Berita dan gambar Prof. Madya Dr. Nerda Zura Zaibidi
LANGKAWI, 2 Julai 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi kolaborasi pelbagai pusat pengajian telah menganjurkan sesi Focus Group Discussion (FGD) sempena pembangunan Blueprint Langkawi 2026–2030 yang berteraskan prinsip pelancongan regeneratif, pembangunan ekonomi mampan, kelestarian alam sekitar serta pemerkasaan komuniti setempat.
Projek ini diketuai oleh Prof. Madya Dr. Johan Afendi Ibrahim dari Pusat Pengajian Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM) dengan sokongan penyelidik bersama dari Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), Pusat Pengajian Kerajaan (SOG) dan Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS).
Sesi FGD yang berlangsung di Panggung Seni Kota Mahsuri, Langkawi telah menghimpunkan lebih 80 pemegang taruh dari pelbagai sektor termasuk agensi kerajaan, syarikat swasta, usahawan industri pelancongan, GLC serta wakil komuniti tempatan. Sesi perbincangan dibahagikan kepada empat kluster utama: Ekonomi, Pelancongan, Sosio-ekonomi, dan Alam Sekitar.
Antara idea strategik yang diketengahkan termasuk pembangunan Langkawi sebagai Wellness Tourism Hub, pengenalan konsep Nomad Village, pengurusan pelancongan digital pintar melalui Digital Tourism Control Centre, pembangunan Agropark Pintar, pemerkasaan ekonomi komuniti tempatan berasaskan kemahiran lokal, pembinaan ekosistem hijau berasaskan tenaga boleh baharu dan pengurusan sisa lestari.
Dr. Johan berkata, projek ini membuktikan keupayaan UUM sebagai pemacu pemikiran dalam merangka pelan strategik destinasi pelancongan utama negara. Ia juga mencerminkan komitmen universiti dalam menyokong aspirasi pembangunan wilayah dan negara melalui pendekatan bersepadu merentas pusat pengajian.
“Terima kasih diucapkan kepada pihak Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) terutamanya Ikhwan Said yang telah banyak membantu memudahkan urusan pengendalian program ini,” katanya.
Turut hadir, Ahli Parlimen Langkawi, Mohd Saiful Mustafa, wakil daripada Tourism Malaysia, Malaysia Airports, Frangipani Hotel, Langsura, TM, agensi pelaksana teknikal, serta pengusaha industri pelancongan dan wakil komuniti tempatan.
Dapatan penuh FGD ini akan menjadi asas penyediaan Blueprint Langkawi 2030, yang dijadualkan siap pada November 2025, dan bakal menjadi dokumen rujukan pelbagai agensi dalam merancang pembangunan jangka panjang Langkawi.