UUM terpilih terima geran di bawah SCOPE-HE
Berita dan gambar Prof. Madya Dr. Mazni Omar
JAKARTA, 20 Mei 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mencatat pencapaian membanggakan apabila terpilih sebagai penerima geran di bawah inisiatif EU-ASEAN Sustainable Connectivity Package – Higher Education Programme (SCOPE-HE) bagi Academic Connectivity Grant, di bawah Kluster 2: Digital Transformation.
Dana sebanyak EUR 500,000 (hampir RM2.5 juta) diperuntukkan untuk pelaksanaan pelbagai aktiviti penyelidikan termasuk pembangunan akademik, penyeliaan pelajar PhD, latihan penyelidikan, dan pelaksanaan projek dalam bidang Teknologi Maklumat dan Geoinformatik. Usaha ini adalah selaras dengan agenda Transformasi Digital UUM dalam pengurusan bencana.
Daripada lebih 120 permohonan yang diterima dari seluruh rantau ASEAN dan Eropah, hanya tiga projek telah berjaya dipilih dan menerima pembiayaan di mana satu projek bagi setiap kluster iaitu Kluster 1: Green Transformation, Kluster 2: Digital Transformation dan Kluster 3: Blue Economy.
Bagi pihak UUM, projek ini disertai oleh penyelidik dari Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC) iaitu Prof. Dr. Huda Ibrahim dan Prof. Madya Dr. Mazni Omar, yang telah dijemput dan ditaja oleh NUFFIC (Dutch Organization for Internationalization in Education) dan DAAD (German Academic Exchange Service) untuk menyertai SCOPE-HE Research Connectivity Workshop: Shaping ASEAN–EU Academic Partnership yang diadakan di Jakarta, baru-baru ini.
Projek Digital Transformation for Natural Hazards atau DIGIHAZ merupakan hasil usaha konsortium yang diketuai oleh Universiti Alicante, Sepanyol, dengan kerjasama institusi rakan antarabangsa iaitu Universiti West Attica (Greece), dua universiti daripada Filipina iaitu Universiti of Cordilleras dan Universiti of Xavier, serta dua universiti daripada Malaysia, Universiti Sains Malaysia (USM) dan UUM.
Projek ini merupakan kesinambungan dari projek penyelidikan Erasmus+ iaitu Geomatics for Disaster Risk Reduction (GeoDDR) yang telah berjaya disempurnakan sebelum ini bersama pelbagai universiti dari Eropah dan ASEAN.
Projek ini turut disertai oleh Dekan SOC, Prof. Dr. Osman Ghazali, merangkap Penolong Naib Canselor UUM UUM CAS, serta Prof. Madya Dr. Mazida Ahmad, Dr. Fazli Azzali, dan Dr. Hapini Awang.
Kejayaan ini membuktikan komitmen berterusan UUM dalam memperkukuh jaringan penyelidikan antarabangsa dan memperkasakan transformasi digital melalui kerjasama akademik strategik antara ASEAN dan Eropah.
Untuk maklumat lanjut mengenai program ini, sila layari EU-ASEAN Sustainable Connectivity Package – Higher Education Programme (SCOPE-HE) – EU-ASEAN