Featured News

GEODRR 2024 kukuhkan pengurusan risiko bencana

SINTOK –  GeoDRR 2024 membincangkan geoinformatik dan teknologi inovatif yang boleh mengurangkan kesan bencana alam sambil memelihara alam sekitar dan melindungi generasi akan datang.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, adalah penting untuk menyedari bahawa kemampanan bukan sekadar hasil tetapi proses yang berterusan.

“Ia memerlukan pembelajaran berterusan, penyesuaian dan usaha kolektif pelbagai pihak berkepentingan seperti kerajaan, akademia, industri dan komuniti setempat untuk memastikan strategi pengurangan risiko bencana berkesan dan mampan.

“Kerjasama antara kumpulan yang pelbagai ini penting dalam memastikan strategi pengurangan risiko bencana berasaskan saintifik dan boleh digunakan secara praktikal.

“Dengan menggabungkan pengetahuan tempatan dengan penyelidikan terkini, kita   boleh mencari penyelesaian untuk memenuhi keperluan dan cabaran.

“Pendekatan menyeluruh ini adalah kunci untuk membina daya tahan yang berkekalan dalam menghadapi risiko masa depan,” katanya pada seminar anjuran Pusat Pengajian Pengkomputeran, UUM.

Menurutnya, acara dua hari ini memfokuskan usaha mempromosikan program  Sarjana Sains Geoinformatik untuk Pengurangan Risiko Bencana (M.Sc GeoDRR)  di UUM yang direka  untuk menyediakan pengetahuan lanjutan dan menerapkan visi jangka panjang bagi membina komuniti berdaya tahan dan menggalakkan pembangunan mampan.

“Terima kasih khas kepada penaja yang telah memperuntukkan pembiayaan untuk Projek GeoDRR di bawah geran ERASMUS + serta kepada SUT, Poland, kerana menjemput UUM untuk menjadi rakan kongsi dalam konsortium sepuluh universiti ini.

“Saya berharap GeoDRR menjadi permulaan kepada kerjasama selanjutnya dengan UUM, sama ada dalam program pertukaran pelajar, penyelidikan bersama, mahupun aktiviti akademik,” ucapnya ketika merasmikan Geoinformatics for Disaster Risk Reduction Final Conference (GeoDRR) 2024 yang berlangsung di EDC-UUM, pagi tadi.

Sementara itu, Project Coordinator of Geomatics for Disaster Risk Reduction (GeoDRR), Project from Silesian University of Technology (SUT), Poland, Krzysztof Tomiczek berkata, bilangan bencana alam kekal sama di seluruh dunia selama bertahun-tahun, bilangan bencana akibat pengaruh iklim semakin meningkat dan jumlah kerugian akibat bencana mencecah sekitar 50 bilion USD di Asia pada   2021.

Menurut Laporan Risiko Dunia 2021 (dan 2022), Asia Tenggara terus menjadi salah satu kawasan paling berisiko menerima bencana alam untuk tahun-tahun mendatang.

“Kita perlu memahami risiko bencana, mengukuhkan pengurusan risiko bencana untuk mengurus risiko, melabur dalam pengurangan risiko bencana untuk rintangan, dan meningkatkan kesiapsiagaan bencana untuk tindak balas yang berkesan.

“Justeru kita perlu membangunkan pakar dalam bidang ini yang memerlukan   pembaharuan dalam sistem pendidikan tinggi dalam  melengkapkan secara teknikal, membekalkan profesional muda dengan pengetahuan dan kemahiran demi memenuhi keperluan masyarakat.

Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Pasukan GeoDRR, delegasi dan semua yang terlibat dalam projek ini atas komitmen dalam menjayakan acara ini.

Kolaborasi strategik ini melibatkan Silesian University of Technology (SUT), Poland, Xavier University (XU), Philippines, University of Cordilleras (UC), Philippines, Universiti Sains Malaysia (USM), Malaysia, National University of Battambang (NUBB), Cambodia, Svay Rieng University (SRU), Cambodia, University of Alicante (UA), Spain, University of West Attica (UniWA), Greece and Novel Group (Novel), Luxembourg

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button