Inasis Proton dan LADA hijaukan bumi
LANGKAWI, 16 Februari 2025: INASIS Proton, Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bertajuk Membina Harapan, Memelihara Alam dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).
Program ini melibatkan 30 peserta terdiri daripada wakil Jawatankuasa Kepimpinan dan Pembangunan Siswa & Residen Siswa (JKPSRS) serta barisan pentadbiran INASIS Proton.
Program ini telah berlangsung di Kilim Geoforest Park, Langkawi, yang merupakan salah satu kawasan ekosistem hutan bakau yang penting di Malaysia.
Pokok bakau mempunyai banyak manfaat, terutamanya untuk alam sekitar dan masyarakat. Akar pokok bakau yang kuat dan rapat membantu menstabilkan tanah dan mengurangkan hakisan pantai. Ini sangat penting untuk kawasan pesisir yang terdedah kepada ombak kuat dan air pasang.
Pengetua INASIS Proton, Dr. Mohd Abidzar Zainol Abidin berkata, pokok bakau adalah salah satu ekosistem yang sangat penting untuk mengekalkan keseimbangan alam sekitar dan memberi manfaat kepada manusia serta hidupan marin.
Katanya, program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mahasiswa mengenai kepentingan kelestarian alam sekitar serta menggalakkan penyertaan aktif dalam aktiviti mesra alam.
“Program ini juga bertujuan memperkukuhkan jalinan kerjasama antara pihak universiti dan agensi tempatan dalam usaha memelihara alam sekitar.
“Peserta telah menanam 30 anak pokok bakau, yang terdiri daripada spesies pokok bakau kurap dan pokok bakau minyak, sebagai usaha memulihara ekosistem pesisir pantai.
“Saya berharap inisiatif seperti ini dapat menjadi pemangkin kepada perubahan positif demi kesejahteraan masyarakat serta generasi akan datang,” ujarnya.
Wakil LADA, Nurul Shahinaz Salleh, mengucapkan penghargaan atas kerjasama yang erat serta komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh pihak INASIS Proton dalam memelihara alam sekitar.
Beliau berharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memastikan kesinambungan usaha pemuliharaan alam sekitar.
peserta, Ahmad Syafiqul Syamil Ahmad Hisham hutan bakau menyediakan tempat perlindungan bagi banyak spesies haiwan seperti ikan, udang, burung, dan berbagai makhluk marin lain. Ia juga berperanan sebagai tempat pembiakan dan makanan bagi spesies laut yang penting.
“Pokok bakau mempunyai keupayaan untuk menyerap karbon dioksida dengan berkesan, yang membantu mengurangkan kesan perubahan iklim. Hutan bakau berfungsi sebagai ‘penyerap karbon’ semulajadi yang penting.
Justeru katanya, program ini memberikan pengalaman yang sangat bermakna kerana sebagai mahasiswa, mereka bukan sahaja perlu cemerlang dalam akademik tetapi juga memainkan peranan dalam menjaga alam sekitar.
“Menanam pokok bakau hari ini memberi saya kesedaran bahawa sekecil-kecil usaha kita, jika dilakukan bersama, boleh memberi impak besar kepada alam dan generasi akan datang,” katanya.
Semangat serta kesungguhan yang ditunjukkan oleh para peserta mencerminkan komitmen mahasiswa dalam menyumbang kepada usaha pemuliharaan alam sekitar, sekali gus mengukuhkan semangat kebersamaan antara universiti dan komuniti tempatan. – Dr. Mohamed Nazreen Shahul Hamid