Inovasi makanan ternakan: Penyelidik UUM fokus bantu ringankan beban penternak tempatan
Gambar Ihsan Prof. Madya Dr. Risyawati Mohamed Ismail
SINTOK, 2 September 2025: Di sebalik cabaran global dalam isu makanan ternakan yang semakin meningkat kosnya, penyelidik dari Universiti Utara Malaysia (UUM) tekad mencari jalan penyelesaian bagi membantu meringankan beban khususnya membabitkan penternak tempatan.
Sehubungan itu, Ketua Penyelidik dari Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML) yang juga pensyarah kanan, Prof. Madya Dr. Risyawati Mohamed Ismail, telah berusaha melahirkan formulasi makanan ternakan ayam dan ikan berasaskan bahan tempatan yang lebih murah, berkhasiat, serta mesra alam.

Inovasi ini merupakan hasil perjalanan panjang penyelidikan R&D yang telah bermula lebih empat tahun lalu, ketika Dr. Risyawati memperkenalkan penggunaan Azolla, sejenis paku air yang tumbuh pantas, sebagai alternatif bahan asas makanan ternakan.
Projek Azolla yang bermula sekitar tahun 2021 membuka lembaran baharu dalam bidang penyelidikan makanan lestari, apabila ia berjaya membuktikan bahawa tumbuhan kecil ini mempunyai potensi besar sebagai pengganti sebahagian daripada bahan mentah import yang mahal.
Namun, bagi Dr. Risyawati, kejayaan awal penggunaan tumbuhan tempatan sebagai sumber protein alternatif untuk pembuatan pelet makanan ternakan itu hanyalah permulaan. Sejak itu, beliau telah mengetuai sembilan lagi projek penyelidikan pelet makanan ternakan, memperhalusi komposisi nutrisi, menguji formulasi berbeza, dan menyesuaikan kandungan makanan agar benar-benar memenuhi keperluan haiwan ternakan tempatan.

Dari situlah lahirnya dua produk terbaharu UUM iaitu pelet makanan ayam dan pelet makanan ikan yang kini sedang mendapat perhatian ramai kerana keberkesanannya di lapangan.
Kos Rendah, Hasil Tinggi
Bagi penternak, isu yang paling membebankan ialah kos makanan ternakan. Dianggarkan 70 hingga 80 peratus daripada kos operasi ladang ayam atau kolam ikan datang daripada makanan ternakan. Industri pembuatan makanan ternakan di Malaysia pula sangat bergantung kepada bahan-bahan pembuatan impot, menjadikan harga makanan ternakan sering tidak stabil dan terus meningkat naik.
Berdasarkan isu tersebut, inovasi UUM ini dijangka bakal menawarkan penyelesaian nyata dan berimpak tinggi untuk industri penternakan tempatan terutamanya untuk perternak komersial kecil-kecilan dan penternak luar bandar. Kajian lapangan yang dilakukan oleh pasukan penyelidikan Dr. Risyawati menunjukkan bahawa formulasi makanan ternakan ini mampu mengurangkan kos lebih daripada 30 peratus berbanding makanan komersial yang dijual di pasaran. Lebih penting lagi, keberkesanan dari segi tumbesaran haiwan dan kualiti hasilnya juga terbukti tidak kalah dengan pelet makan yang berada di pasaran.

Ayam pedaging yang diberi makan dengan pelet makanan UUM membesar dengan lebih cepat, mempunyai sistem imun lebih baik, malah berjaya mencapai sasaran berat tuaian dengan kitaran yang lebih pendek. Bagi ikan keli pula, kadar kelangsungan hidup (survival) lebih tinggi dan pertumbuhan lebih konsisten, walaupun makanan yang digunakan lebih murah. Semua ini menjadikan inovasi tersebut sebagai harapan baharu kepada penternak kecil dan komuniti luar bandar.
Kerjasama Penyelidik, Kejayaan Komuniti
Salah satu faktor utama kejayaan projek ini ialah kerjasama erat antara beberapa penyelidik UUM. Dr. Risyawati berkolaborasi dengan dua penyelidik lain bagi memastikan projek ini mencapai objektif yang telah disasarkan. Projek ini mendapat dukungan rakan-rakan penyelidik UUM yang turut mengetuai kajian berkaitan ternakan. Salah seorang rakan kolaborasi dalam projek ini adalah Prof. Madya Dr. Mastora Mustafar.

Beliau yang mengetuai projek penternakan ayam luar bandar berkata, keberkesanan makanan ternakan UUM jelas kelihatan apabila ia diuji bersama penternak kecil di kampung.
“Ayam yang dibela dengan formulasi ini membesar lebih sekata dan lebih sihat. Bagi komuniti luar bandar, perkara ini sangat penting kerana ia bukan sahaja menjimatkan kos, malah memberi keyakinan bahawa hasil ternakan mereka mampu bersaing dengan makanan komersial,” katanya.
Sementara itu seorang pakar lagi iaitu Dr. Siti Zakiah Abu Bakar, Ketua Projek Penternakan Ikan Keli Komuniti berkata, percubaan makanan ikan formulasi UUM membuktikan keberkesanannya di lapangan.
“Dalam tempoh beberapa bulan sahaja, kami dapat melihat kadar tumbesaran ikan keli yang lebih konsisten. Lebih menarik, kos makanan dapat dikurangkan dengan ketara. Bagi penternak kecil, inilah yang mereka perlukan iaitu makanan yang murah tetapi hasilnya tetap baik,” katanya.
Suara Dari Komuniti Penternak

Penternak yang terlibat dalam projek ini turut menyatakan rasa gembira dengan hasil yang diperoleh. Penternak di Padang Terap, Ismail Abd Halim berkata, sebelum ini mereka sering tertekan dengan kos makanan yang terlalu tinggi. Tetapi dengan pelet makanan ayam UUM, kos dapat dikurangkan, dan ayam lebih sihat. Ia benar-benar memberi peluang baharu untuk mereka bertahan.
Bagi komuniti luar bandar, pengurangan kos makanan bermakna mereka boleh mengekalkan margin keuntungan yang lebih baik. Ini sekaligus membantu meningkatkan taraf hidup mereka, selari dengan usaha kerajaan memperkasakan ekonomi desa.
Sokongan Kepimpinan Akademik
Dekan STML, Prof. Madya Dr. Mohd Najib Salleh, turut menyuarakan sokongan terhadap usaha yang dijalankan dan menegaskan bahawa penyelidikan sebegini membuktikan keupayaan UUM dalam menghasilkan penyelesaian praktikal yang memberi impak terus kepada masyarakat.

“Kejayaan Dr. Risyawati dan rakan-rakan penyelidik beliau bukan sahaja menonjolkan kepakaran akademik UUM, tetapi juga membuktikan bagaimana ilmu yang dikembangkan di universiti dapat diterjemahkan ke dalam bentuk inovasi sebenar di lapangan.
”Inilah bukti bahawa universiti bukan sekadar menulis kertas akademik, tetapi juga menghasilkan solusi yang menyentuh kehidupan masyarakat, khususnya komuniti penternak luar bandar,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UUM, Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad, menegaskan bahawa kejayaan ini selaras dengan agenda universiti untuk meningkatkan kemantapan sekuriti makanan negara melalui inovasi berimpak tinggi.
“Projek seperti ini membuktikan bahawa penyelidikan universiti mampu menghasilkan penyelesaian yang praktikal dan segera kepada isu-isu besar negara. Keselamatan makanan (food security) bukan lagi wacana akademik semata-mata, tetapi satu keperluan mendesak yang menuntut inovasi berani dan hasil nyata.

”Saya yakin inisiatif ini akan terus menyumbang secara langsung kepada kelansungan operasi penternak-penternak tempatan, menjadikan mereka lebih mampan dan berdaya saing,” katanya.
Menuju Komersialisasi
Kini, Dr. Risyawati sedang dalam proses menyiapkan langkah komersialisasi hasil kajian ini dengan kerjasama beberapa usahawan tempatan. Beberapa usahawan telahpun menyatakan minat untuk menghasilkan produk ini secara besar-besaran di pasaran, manakala lebih ramai lagi digalakkan untuk tampil bekerjasama.
“Kajian ini tidak boleh berhenti di makmal sahaja. Ia perlu sampai ke komuniti untuk dimanfaatkan. Sebab itu, mana-mana usahawan yang berminat boleh menghubungi saya untuk kerjasama selanjutnya,” kata Dr. Risyawati.
Beliau menegaskan, kejayaan sebenar inovasi ini adalah apabila penternak kecil di seluruh negara benar-benar dapat menggunakannya untuk mengurangkan kos operasi dan meningkatkan hasil ternakan.

Kesan Nyata kepada Penternak Tempatan
Penyelidikan ini akhirnya memberi kesan langsung terhadap operasi penternak tempatan. Dengan kos makanan yang lebih rendah, penternak ayam mampu menambah kapasiti pengeluaran tanpa bimbang terhadap beban kos yang melampau, manakala penternak ikan keli menikmati hasil ternakan yang lebih konsisten. Inovasi ini bukan sahaja memperkukuh daya saing mereka, tetapi juga menjadikan industri ternakan tempatan lebih berdaya tahan dalam mendepani krisis harga bahan makanan global.
Bagi penternak kecil luar bandar, ia adalah peluang untuk terus bertahan dalam industri. Bagi negara pula, ia adalah langkah konkrit dalam memastikan sekuriti makanan kekal utuh dan lestari.