Kek premium tambat hati, laku keras musim raya
SINTOK, 27 Mac 2025: Kek Coklat Caramel, Kek Batik Indulgence, Fudge Brownies, Puding Caramel, Kek Coklat, Kek Marble, dan Japanese Cotton Cheese yang lembut, tekstur sempurna, manis-manis buah, dan rasa yang sedap memukau pasti menceriakan hari anda.
Yang menariknya semua ini hanya dipelajari menerusi internet berbekalkan minat dan dedikasi insan bernama Maizatul Musfiroh Mohammad.
“Saya memang minat membuat kek tidak kira kek biasa, kek kahwin atau kek hari jadi serta mempromosi dalam talian,” ujarnya.
Lebih mesra disapa sebagai Atul, detik paling bahagia ketika pelanggan memberikan komen positif serta berpuas hati dengan air tangannya.
“Satu kepuasan bila dapat bagi orang makan kek sedap macam yang kita makan. Atul buat kek yang macam kita sendiri makan kepada pelanggan, kebanyakannya manis-manis buah, sedap dan premium,” katanya.
Original Recipe By MFKitchen menjual pelbagai jenis kek seperti Kek Coklat Caramel, Kek Batik, Fudge Brownies, Kek Marble, Kek Coklat, Kek Batik Indulgence, Japanese Cotton Cheese, Puding Caramel serta pelbagai jenis kek lain.
Tidak hanya itu, dia juga menyediakan kek yang dihiasi dengan dekorasi menarik mengikut tema permintaan pelanggan.
“Kek saya bukan sekadar kek biasa, saya pastikan setiap satu kek ada sentuhan istimewa. Ada yang minta tema kahwin, ada yang minta tema hari lahir, dan setiap kek saya buat penuh dengan kasih sayang.
“Kadang-kadang ada pelanggan suka kek yang guna bahan premium seperti ‘pure butter, dark chocolate’, ada juga yang nak majerin sebab nak rasa macam kek orang dulu-dulu,” ujarnya.
Atul memastikan kualiti, bahan premium dan kesegaran selain sentiasa inovatif dalam setiap kek yang dihasilkan.
“Setiap kek yang saya hasilkan disesuaikan dengan citarasa pelanggan supaya mereka puas hati itulah sebabnya, mereka sentiasa kembali.
“Sambutan alhamdulillah setiap hari ada tempahan. Musim raya lah paling banyak tempahan kira-kira 130 biji kek di kalangan pelanggan dari Kubang Pasu dan Alor Star malah ada yang nak balik kampung akan singgah di Changlun,” tambahnya.
Perniagaan kecil-kecilan ini semakin berkembang dan permintaan melonjak sehingga adakalanya tidak cukup tangan mujurlah dibantu keluarga tercinta.
“Suami, pendorong utama. Dia yang dulunya hanya bantu basuh loyang, letak ‘baking paper’ di loyang, sekarang sudah pandai buat kek dan puding. Puding Caramel, Kek Coklat Caramel dan Kek Coklat Moist memang 100% ‘pass’ pada dia jadi saya boleh buat kek lain,” katanya.
Anak keempat daripada lima adik beradik ini merupakan pelajar Diploma Sains Kesetiausahaan dan bekerja di UUM sebagai Setiausaha Pejabat.
“Asalnya kerja ‘part time’ ini bermula dengan menjual Puding Caramel sahaja pada 2016, ketika itu saya mengandung dan mengidam Puding Caramel air tangan sendiri, tak nak yang beli.
“Seterusnya pada 2020 ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya teringin nak makan macam-macam tapi tak boleh keluar rumah jadi saya buat kek sendiri dengan belajar daripada google dan masuk kelas dalam Facebook kemudian diolah sendiri ikut selera Atul,” kongsinya.
Ibu kepada empat cahaya mata ini amat bersyukur dengan segala rezeki yang datang serta bertekad untuk memberikan yang terbaik buat semua pelanggannya.
Kek premium bukan sekadar enak berkrim tetapi juga penuh dengan rasa dan keistimewaan dengan bahan berkualiti tinggi dan resepi istimewa. Untuk tempahan hubungi talian: 019-410 6047.