Mampukah RPM 2026–2035 mengoptimumkan nilai dan karakter generasi digital?
Oleh: Prof. Madya Dr. Mardzelah Makhsin
Persoalan teras dalam pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 ialah keupayaannya membina nilai dan karakter generasi digital secara bermakna. RPM digubal untuk menterjemahkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan melalui pembinaan nilai dan kemenjadian murid secara holistik. Sehubungan itu, fokus pelaksanaan perlu digerakkan ke arah pembentukan insan di sekolah, melangkaui perubahan sistem dan dokumentasi.
Sekolah hari ini mendidik generasi yang membesar dalam persekitaran digital sejak usia awal. Murid bukan sahaja terdedah kepada teknologi, malah membentuk cara berfikir, berinteraksi dan memahami dunia melalui skrin. Generasi ini, yang wajar dirujuk sebagai Generasi Digital, merangkumi murid Generasi Z di peringkat menengah dan Generasi Alpha di peringkat sekolah rendah. Dalam konteks ini, kejayaan RPM tidak boleh diukur hanya melalui perubahan struktur, penambahan kandungan atau kemodenan teknologi, tetapi melalui kesannya terhadap pembinaan insan di bilik darjah.

Generasi Digital sering dilihat sebagai generasi yang cekap teknologi dan pantas mengakses maklumat. Namun, di sebalik kelebihan tersebut, wujud cabaran besar berkaitan kestabilan emosi, pembentukan nilai dan jati diri. Ramai murid hari ini bukan gagal dari sudut akademik, tetapi berhadapan keletihan emosi, kekeliruan nilai dan tekanan identiti. Mereka mampu menjawab soalan peperiksaan, namun bergelut untuk mengurus tekanan, membuat keputusan berprinsip dan memahami makna kehidupan. Tanpa asas nilai dan karakter yang kukuh, kecemerlangan akademik semata-mata tidak mencukupi untuk membina insan seimbang.
Sekolah pula berdepan realiti murid yang tidak kekurangan maklumat, tetapi kekurangan bimbingan untuk membezakan yang benar, bermanfaat dan beretika daripada yang merosakkan. Tekanan peperiksaan, budaya perbandingan dan kejaran pencapaian sering menyebabkan dimensi pembinaan dalaman murid terpinggir. Akibatnya, semakin ramai murid kelihatan berjaya dari sudut luaran, tetapi rapuh dari segi emosi, nilai dan ketahanan diri.
Dalam kerangka keilmuan Islam, pendidikan sejak awal difahami sebagai suatu proses pembinaan insan secara menyeluruh dan bersepadu. Ibn Khaldun, melalui al-Muqaddimah, menegaskan bahawa pendidikan berperanan membentuk akal, akhlak dan adab agar manusia mampu hidup bermasyarakat secara seimbang. Imam al-Ghazali, melalui Ihya’ ‘Ulum al-Din dan risalah nasihat Ayyuha al-Walad, pula mengingatkan bahawa ilmu yang tidak disertai adab dan penyucian jiwa berisiko kehilangan nilai kemanusiaannya.

Pandangan ini diperkukuh oleh tokoh pendidikan Islam kontemporari, Abdullah Nasih Ulwan, melalui karya Tarbiyat al-Awlad fi al-Islam. Beliau menegaskan bahawa pendidikan yang berkesan ialah pendidikan yang membina iman, akhlak, emosi, hubungan sosial dan disiplin diri secara seiring. Pembentukan murid, menurut pendekatan ini, tidak memadai melalui arahan dan disiplin semata-mata, sebaliknya memerlukan proses tarbiah yang berterusan, menyentuh hati dan membimbing perkembangan dalaman. Pendidikan yang mengabaikan dimensi jiwa berisiko melahirkan murid yang patuh secara luaran, tetapi lemah dari sudut nilai dan ketahanan diri.
Hakikat ini selari dengan pemikiran Aristotle yang menegaskan bahawa tujuan pendidikan berkait rapat dengan pembentukan kemuliaan karakter dan kebajikan, kerana masyarakat yang baik lahir daripada individu yang berakhlak. Pendidikan, dalam kerangka ini, bukan sekadar alat mencapai kejayaan material, tetapi wahana membina manusia yang bermoral dan bertanggungjawab.
Di sinilah RPM 2026–2035 perlu difahami sebagai peluang untuk mengembalikan roh pendidikan di sekolah, selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang menegaskan usaha melahirkan insan seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. FPK dengan jelas meletakkan pembinaan akhlak, kepercayaan kepada Tuhan, kesejahteraan diri serta tanggungjawab kepada masyarakat sebagai teras pendidikan negara. Justeru, pelaksanaan RPM seharusnya menjadi pemangkin kepada penghayatan falsafah ini dalam amalan harian sekolah, agar pendidikan Generasi Digital tidak hanya membina intelek, tetapi turut mengoptimumkan nilai dan karakter.

Pembinaan nilai dan karakter Generasi Digital memerlukan ruang untuk refleksi, dialog dan pembelajaran bermakna. Murid perlu dibimbing untuk mengenali diri, mengurus emosi, menerima kegagalan dan membina daya tahan. Sekolah yang terlalu menekan kepatuhan dan keputusan peperiksaan tanpa memberi ruang kepada perkembangan dalaman murid berisiko melahirkan generasi yang cemerlang di atas kertas, tetapi kosong dari sudut makna kehidupan.
Dalam usaha ini, peranan warga pendidik menjadi teras kejayaan RPM. Guru bukan sekadar penyampai kandungan kurikulum, tetapi pendidik yang membentuk emosi, nilai dan karakter murid. Murid belajar tentang integriti, empati dan tanggungjawab bukan hanya melalui apa yang diajar, tetapi melalui apa yang diteladankan dalam sikap, tutur kata dan keikhlasan pendidik setiap hari.
Kesimpulannya, RPM 2026–2035 hanya akan benar-benar bermakna apabila sekolah dan warga pendidik berani keluar daripada kebiasaan lama dan meletakkan pembinaan nilai serta karakter Generasi Digital sebagai teras utama pendidikan. Apabila sekolah kembali kepada fitrahnya sebagai institusi teras pembentukan insan, Generasi Digital bukan sahaja akan muncul sebagai murid berprestasi, tetapi sebagai manusia berakhlak, berdaya tahan dan bersedia memikul amanah masa hadapan negara.



