Pelajar BALBA dan pensyarah bangga berkongsi nilai budaya, bahasa dan identiti Malaysia sempena Hari Kemerdekaan Ke-68 di bumi Australia
Berita dan gambar Dr. Hasliza Abd Halim
AUSTRALIA, 8 September 2025: Seramai 25 pelajar dari program Ijazah Sarjana Muda Linguistik Terapan dan Pentadbiran Perniagaan (BALBA), Universiti Utara Malaysia (UUM), telah menyertai Program Industry Immersion selama seminggu di University of Melbourne, Australia, di mana ia dijalankan seiring dengan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-68 sekali gus menambahkan nilai simbolik terhadap pengalaman antarabangsa pelajar.
Program ini dianjurkan oleh Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP) UUM, dengan kerjasama School of Languages and Linguistics, University of Melbourne.
Pensyarah, Dr. Hasliza Abd Halim berkata, inisiatif ini bertujuan meningkatkan kemahiran komunikasi antara budaya dalam kalangan pelajar serta memperluas perspektif global melalui pengalaman akademik, bahasa dan budaya yang menyeluruh.
Antara kemuncak program ini ialah Cultural Showcase, di mana pelajar-pelajar BALBA mempersembahkan pelbagai elemen budaya Malaysia termasuk persembahan dikir barat, nyanyian lagu tradisional, serta peragaan busana tradisional dari pelbagai negeri. Acara ini turut disertai oleh pelajar serta pensyarah dari University of Melbourne untuk mengenali dan menghayati kepelbagaian budaya Malaysia.
Selain persembahan, pelajar turut memperkenalkan permainan tradisional, kraftangan, dan makanan tempatan Malaysia, tambahan lagi sambutan yang diterima sangat menggalakkan serta menyatakan kekaguman terhadap keharmonian budaya yang wujud di Malaysia.
Program ini turut merangkumi sesi akademik seperti kuliah di Sunderland Theatre, UniMelb dan bengkel berkaitan komunikasi antara budaya, dan penggunaan Bahasa Inggeris dalam konteks global di Science Gallery. Sesi ini dikendalikan oleh pensyarah dan kakitangan University of Melbourne serta dapat membuka ruang kepada pelajar untuk memahami peranan bahasa dalam pembentukan identiti nasional dan diplomasi budaya.
Pelajar juga berpeluang melawat lokasi bersejarah dan kebudayaan di sekitar Melbourne seperti State Library of Victoria, National Gallery of Victoria, Federation Square, Block Arcade, Melbourne Central, Flinders Street Station serta Queen Victoria Market yang memberi pendedahan kepada pelajar tentang kepelbagaian budaya Australia dan nilai-nilai sejarah yang membentuk masyarakatnya.
Satu lagi detik istimewa dalam program ini ialah sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia pada 31 Ogos yang dianjurkan oleh pihak Konsulat Jeneral Malaysia yang berlokasi di Claremont Street South Yarra di mana majlis yang penuh patriotik ini menampilkan nyanyian lagu-lagu kebangsaan, ucapan penghargaan, serta upacara simbolik menaikkan Jalur Gemilang, mencerminkan semangat cintakan negara walaupun berada di perantauan. Semangat Kemerdekaan turut disemarakkan dengan persembahan tarian tradisional dan acara merakam foto kenangan bersama-sama.
Sorotan utama program Industry Immersion ini ialah pembentangan dua kertas kerja oleh dua pensyarah SLCP iaitu Dr. Hasliza dan Norzanita Othman. Kertas kerja berkaitan bahasa dan identiti Malaysia telah dikongsi di dalam satu symposium anjuran School of Languages and Linguistics (SOLL), iaitu Staff Symposium on Language and Identity.
Norzanita berkata, program ini memberi pengalaman yang amat bermakna kepada semua di mana satu perkongsian berkaitan bahasa dan budaya Malaysia dapat diketengahkan dan dikongsi bersama para profesor dan pensyarah SOLL.
“Inisiatif ini bukan sahaja memberi pendedahan berkaitan budaya Malaysia, tetapi budaya di Australia turut dikongsi bersama.
“Simposium ini menjadi medan pendedahan dan pertukaran bahasa, budaya dan identiti bersama,” katanya.
Sementara itu, peserta, Harini Subramaniam berkata, peluang menyertai Cultural Showcase dan menyambut Hari Kemerdekaan di luar negara membuatkan dia rasa bangga menjadi rakyat Malaysia.
“Saya belajar bagaimana bahasa dan budaya boleh menyampaikan cerita kita kepada dunia,” katanya.
Program ini diakhiri dengan sesi jaringan bersama alumni Malaysia dan pelajar antarabangsa di University of Melbourne, sekali gus membuka ruang kepada kerjasama dan hubungan akademik jangka panjang.
Penyertaan pelajar UUM dalam program ini mencerminkan komitmen universiti dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, tetapi juga celik budaya dan bersedia menghadapi cabaran global.