Featured News

Penyelidik UUM hasilkan inovasi bata daripada bahan buangan kilang gula

SINTOK, 18 Februari 2025: Industri gula di Malaysia memainkan peranan yang signifikan dalam ekonomi negara, tetapi proses pengeluarannya sering menghasilkan sisa buangan yang besar.

Salah satu bahan buangan yang dihasilkan adalah pressmud, iaitu sisa pepejal yang berbentuk lumpur solid daripada proses pengekstrakan yang dirawat bersama lime dan bahan kimia yang lain bagi menghapuskan kekotoran di dalam gula mentah yang dihantar dari luar negara ke Malaysia.

Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), Dr Maheera Mohamad berkata, sebelum ini, pressmud dianggap sebagai bahan buangan yang tidak berharga. Namun, dengan kemajuan teknologi dan inovasi, pressmud kini dapat dimanfaatkan menjadi produk yang berguna, seperti bata untuk tujuan pembinaan. Inovasi ini bukan sahaja menyelesaikan masalah pembuangan sisa, tetapi juga memberi impak positif terhadap kelestarian alam sekitar.

Pressmud merujuk kepada sisa pepejal yang dihasilkan selepas proses penapisan di kilang gula. Pressmud kaya dengan bahan organik dan mengandungi pelbagai nutrien, menjadikannya sumber yang berharga untuk aplikasi pertanian dan perindustrian.

Komposisinya biasanya termasuk bahan organik seperti gentian dan bahan tumbuhan lain, nutrien termasuk nitrogen, fosforus, kalium dan mikronutrien seperti kalsium, magnesium dan sulfur. Biasanya, pressmud digunakan sebagai makanan ternakan atau baja organik, tetapi kini ia mula diterokai untuk kegunaan lain yang lebih inovatif, seperti dalam pembuatan bahan binaan.

“Inovasi bata pressmud adalah inovasi bata yang menggunakan bahan buangan dari industri pemprosesan gula negara.

“Pressmud merupakan salah satu daripada bahan buangan yang terhasil daripada proses penapisan gula mentah. Bahan ini mempunyai pelbagai manfaat yang boleh digunakan dalam pelbagai aplikasi produk baru terutamanya dalam bidang pertanian, penternakan dan juga industri pembinaan.

“Inovasi bata daripada pressmud ini menunjukkan potensi yang besar dalam membantu menyelesaikan masalah pembuangan sisa di industri gula dan mengurangkan impak negatif terhadap alam sekitar. Selain itu, ia menawarkan alternatif yang lebih mesra alam dalam industri pembinaan yang terus berkembang. Dengan penyelidikan dan pembangunan lanjut, pembuatan bata ini boleh diperluaskan untuk menghasilkan produk yang lebih berfungsi dan mesra alam pada masa akan datang,” ujarnya.

Inovasi pembuatan bata daripada pressmud melibatkan pengolahannya menjadi bahan binaan yang kuat dan tahan lama. Proses ini bermula dengan pengumpulan pressmud yang telah dikeringkan dan dicampurkan dengan bahan tambahan seperti simen, dan campuran coarse aggregate. Campuran ini diproses dalam nisbah tertentu bagi memastikan ia mempunyai kekuatan dan ketahanan yang mencukupi.

Setelah bahan-bahan dicampurkan, lalu dicetak ke dalam acuan bata menggunakan mesin cetak khas. Kemudian, bata yang dihasilkan dikeringkan dan dipadatkan. Untuk meningkatkan kekuatan dan ketahanan bata, ia melalui proses pemanasan pada suhu tertentu dan sedia digunakan dalam pelbagai projek pembinaan.

Mengulas lanjut, beliau memperolehi idea hebat ini hasil daripada lawatan dan kerja lapangan ketika pengajian MSc dahulu.

“Pada ketika itu bidang kajian saya tertumpu kepada Teknologi dan Kejuruteraan tanah dan air di Tapak Pelupusan Sisa Pepejal di Seberang Perai, Pulau Pinang. Saya dapati industri pemprosesan gula membuang sisa pressmud di tapak pelupusan sisa pepejal tersebut. Menariknya sisa tersebut mengeras dan menjadi seperti ‘particle soil’ yang baik untuk dijadikan sebagai bahan tambah dalam pembuatan bata atau konkrit dalam industri pembinaan.

“Dari situ saya mencuba kajian ‘preliminary’ dan hasil daripada kajian tersebut berjaya menghasilkan output sekali gus membuktikan ia adalah bahan tambah yang sangat sesuai dalam pembuatan bata di samping dapat mengurangkan pembuangan pressmud di tapak pelupusan sisa pepejal selari dengan pihak industri gula dalam mencapai hasrat ‘zero waste’ dalam mencapai ekonomi sekular.

Merintis usaha ini, UUM berganding bahu bersama Malayan Sugar Manufacturing (MSM) Prai Berhad dengan matlamat untuk mengkomersialkan produk hijau ini ke dalam industri pembinaan negara.

“Banyak kelebihan bata daripada Pressmud ini antaranya mengurangkan kos pembuatan bata kerana dihasilkan daripada bahan buangan dan dapat menukarkan daripada bahan buangan kepada penghasilan produk hijau iaitu pressmud bricks, dari sini kita dapat melaksanakan pendekatan ‘green profit business.

“Bata ini membantu mengurangkan jumlah sisa buangan yang dihasilkan oleh kilang gula. Dengan memanfaatkan pressmud yang biasanya dibuang, proses ini memberikan nilai tambah kepada bahan buangan tersebut dan mengurangkan impaknya terhadap alam sekitar.

“Bata yang dihasilkan daripada pressmud terbukti mempunyai ketahanan yang baik dan kekuatan yang setanding dengan bata konvensional. Proses pengeringan dan pemanasan yang teliti memastikan bahawa bata ini mempunyai struktur yang padat dan stabil untuk digunakan dalam pembinaan,” katanya.

Inovasi ini menyokong prinsip kelestarian dengan mengurangkan penggunaan bahan-bahan semula jadi seperti tanah liat dalam pembuatan bata. Dengan menggunakan pressmud, yang merupakan bahan buangan dari kilang gula, ia mengurangkan keperluan untuk menggali tanah dan mengekalkan ekosistem semula jadi.

Pembuatan bata daripada pressmud juga dapat menjimatkan kos dalam industri pembinaan kerana ia menggunakan bahan yang sudah ada dan tidak memerlukan sumber semula jadi yang baru. Selain itu, dengan mengurangkan kos pembuangan sisa pressmud, kilang gula juga dapat menjimatkan wang dan meningkatkan keberkesanan operasi mereka.

“Inovasi bata daripada pressmud bukan sahaja membuka peluang baru dalam pengurusan sisa, tetapi juga memberikan sumbangan yang besar kepada kelestarian dan inovasi dalam sektor pembinaan. Inisiatif ini adalah contoh yang jelas bagaimana kita boleh memanfaatkan sisa buangan untuk menghasilkan produk bernilai yang memberi manfaat kepada ekonomi dan alam sekitar,” ujarnya.

Dr. Maheera aktif menyertai pertandingan inovasi dan meraih kejayaan antaranya termasuklah memenangi pingat emas dan perak di 5th Sustainability Challenge 2023; pingat emas dan perak di BIOVET Award Hyper Interdisciplinary Conference, serta dua pingat perak di Creativity & Innovative Technology Competition.

Baru-baru ini, beliau  dianugerahkan penghargaan tertinggi dengan Best of the Best Award di International Innovation & Invention Competition 2024 bagi projek “Sustainable Building Solutions: Combining Expanded Polystyrene (EPS) and Sugar Refinery Waste Pressmud from MSM Prai Berhad” dan memenangi pingat gangsa dan perak di dalam Malaysia Technology Expo bagi Sustainable Energy & Green Technology International Innovation Award.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button